Pengikut

Rabu, 10 Mei 2023

Sumber Hukum Yang Disepakati: Ijmak

 

Sumber Hukum Yang Disepakati: Ijmak



Pengertian Ijmak:

Ijmak ialah persepakatan ulama mujtahidin daripada ulama umat Nabi Muhammad pada perkara yang berhubung dengan hukum syarak selepas kewafatan Nabi Muhammad.

Dalil ijmak: Surah an-Nisa: 59


Maksudnya: Wahai orang-orang Yang beriman, Taatlah kamu kepada Allah dan Taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang Yang berkuasa) dari kalangan kamu. kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) Dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.

Syarat Ijmak:

1.    Persepakatan mesti lahir dari ulama mujtahidin, bukan dari orang awam.

2.    Persepakatan oleh semua mujtahidin, bukan sebahagian daripadanya.

3.    Ulama mujtahidin tersebut dari umat Nabi Muhammad.

4.    Berlaku selepas kewafatan Nabi Muhammad.

5.    Ijmak berkaitan hukum syarak (seperti wajib, sunat, haram, sah ) bukan hukum bahasa, akal dsb.

(Mujtahid bermaksud orang yang berkelayakan melakukan ijtihad / mereka yang sampai ke peringkat mampu beristinbat (merumuskan) hukum-hukum syarak dari dalil-dalil).








Hukum Mengingkari Ijmak:

1.    Sebahagian ulama berpendapat mengingkari ijmak adalah kufur kerana ia termasuk dalam hujah yang disepakati (qat’ie).

2.    Sebahagian ulama lain seperti Imam al-Haramain mengatakan mengingkari ijmak adalah tidak kufur kerana dalil kehujahan ijmak adalah zanni dan mengingkari kehujahan dalil tidak kufur.

 

 BAHAGIAN/KATEGORI  IJMAK:

A.   Ijmak berasaskan pernyataan persetujuan:

1.    Ijmak Sarih:

Kesepakatan pendapat dalam hukum syarak yang dilahirkan secara berterus-terang oleh para mujtahid sama ada melalui kata-kata atau fatwa atau hukum muhakkamah atau amalan (perbuatan).

 

2.    Ijmak Sukuti:

Kesepakatan pendapat dalam hukum syarak yang dilakukan oleh sebahagian mujtahid secara jelas dan sebahagian lagi mendiamkan diri dalam batas waktu yang mencukupi untuk mereka membuat keputusan.

 Syarat penerimaan Ijmak sukuti:

a)   Mestilah melalui suatu masa yang cukup untuk berfikir atau membuat kajian dan rumusan             tentang masalah yang diputuskan itu.
b)  Tidak ada sebab untuk menakut-nakutkan mujtahid lain dalam mengeluarkan pendapat
c)    Semata-mata diam, bukannya menolak.


Pandangan ulama tentang kehujahan ijmak sukuti:

Ulama berselisih pendapat tentang kehujahannya:

1.    Ulama yang menerima:

i.      Pendapat al-Khurkhi dari mazhab Hanafi dan Imam al-Amidi dari mazhab Syafie- menerima sebagai hujah zanni.

Hujah/alasan mereka:

Berdiam diri sebahagian daripada ahli mujtahid bukan semestinya muafakat dengan pendapat yang telah dikeluarkan, bahkan berdiam diri itu mungkin kerana bersetuju dengan pendapat yang dikeluarkan atau gerun dengan kehebatan ulama yang telah mengeluarkan pendapatnya. Oleh itu ijmak sukuti adalah hujah zanni.

                        ii.    Pendapat dari Ulama Hanafi, Imam Ahmad dan sebahagian ulama Syafie- menerimanya sebagai hujah qat’ie.

Hujah/alasan mereka:

Dalil yang menunjukkan kehujahan ijmak, tidak membezakan di antara ijmak soreh dan ijmak sukuti. Jika ditentukan dalil tersebut kepada ijmak soreh sahaja mungkin tidak berlaku ijmak sedangkan ijmak telah berlaku.

2.    Ulama yang menolak: Imam maliki dan Syafie

Hujah/alasan mereka:

Tidak boleh dikatakan orang berdiam itu bersetuju, kemungkinan kerana takut kepada kemudaratan pada diri/keluarga atau harta atau berdiam diri untuk berijtihad atau berdiam diri kerana gerun pada kehebatan ulama lain.

 

     B.   Ijmak berasaskan lokasi mujtahid:

1.  Ijmak Mujtami’Kesepakatan pendapat dalam hukum syarak yang terhasil daripada semua mujtahid yang berada di satu tempat yang sama.

2. Ijmak muftariqKesepakatan pendapat dalam hukum syarak yang terhasil daripada semua          mujtahid yang berada di tempat yang berjauhan antara satu sama lain.

 

 

KEHUJAHAN IJMAK (Sarih):

Ijmak mengambil tempat ketiga sebagai sumber perundangan Islam. Jumhur ulama bersepakat bahawa ijmak adalah hujah yang qat’ie, wajib berpegang dengannya dan haram menyalahinya. Apabila terlaksana ijmak mengenai hukum  bagi sesuatu masalah dan diketahui, maka jadilah hukum yang telah disepakati oleh ulama itu sabit secara yakin dan tidak boleh menyalahinya.

Hal ini jelas dapat dilihat berdasarkan dalil-dalil Al-Quran dan Al-Sunnah Rasulullah SAW yang memperkatakan ijmak ini.  Firman Allah SWT dalam surah al-Nisa’ ayat 59:

Maksudnya: Wahai orang-orang Yang beriman, Taatlah kamu kepada Allah dan Taatlah kamu kepada  Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang Yang berkuasa) dari kalangan kamu


 

 

 


Ayat ini jelas kepada kita bahawa Allah memerintahkan kita supaya taat setia kepada Nya dan kepada rasul Nya serta pihak yang bertanggungjawab di dalam masyarakat termasuklah golongan ulama mujtahidin.

Selain daripada itu, terdapat juga banyak hadis Rasulullah yang menunjukkan terpelihara umatnya atau para ulama mujtahid dari tersalah. Ini merupakan jaminan baginda Rasulullah terhadap kebenaran hukum ijmak antaranya:

Ù„َا تَجْتَÙ…ِعُ Ø£ُÙ…َّتِÙ‰ عَÙ„َÙ‰ ضَلاَÙ„َØ©ٍ

Tidak sepakat umat ku atas kesesatan

 

Manakala al-Nizam (dari golongan ulama Muktazilah) , sebahagian khawarij dan syiah berpendapat bahawa ijmak tidaklah menjadi hujah atau sumber hukum berdasarkan firman Allah:


Maksudnya: Wahai orang-orang Yang beriman, Taatlah kamu kepada Allah dan Taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang Yang berkuasa) dari kalangan kamu. kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) Dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. 

 

Ayat di atas tidak menyuruh merujuk kepada persepakatan para mujtahidin dari umat Rasulullah di dalam mengatasi masalah yang dipertikaikan itu. Maka, jelas bahawa ayat di atas menunjukkan tidak diambil kira persepakatan mereka (ijmak mereka) seterusnya ia tidaklah menjadi ijmak.

Jumhur ulama menjawab hujah ini dengan mengatakan bahawa ayat tersebut menjadi hujah ke atas kamu bukan hujah bagi kamu, kerana ia mewajibkan kembali dalam mengatasi perkara yang dipertikaikan itu kepada al-Quran dan hadis. kehujahan ijmak adalah di antara perkara yang dipertikaikan antara kami dan kamu. Oleh sebab itu, maka wajib kembali dalam menentukan kehujahan ijmak atau tindakan kepada al-Quran dan hadis. Dengan kembali kepada hadis kita dapati di dalamnya sesuatu yang menunjukkan bahawa ijmak adalah hujah. Dengan itu kami telah berpegang dengan ayat tersebut tetapi kamu tidak.

 


SANDARAN IJMAK:

Sandaran ijmak ialah dalil yang bersandar kepadanya oleh para ulama mujtahidin mengenai hukum yang disepakati oleh mereka.

Jumhur ulama bersepakat berpendapat bahawa ijmak mestilah mempunyai sandaran atau dalil kerana ijmak tanpa dalil membawa kepada memperkatakan dalam urusan agama dengan pemikiran dan membawa kepada menggubal syariah yang baru selepas Rasulullah SAW. Ini tidak harus kerana memperkatakan mengikut hawa nafsu dan ini tidak harus berlaku kerana ijmak para ulama mujtahidin terpelihara dari kesalahan.

     A.   Sandaran ijmak berdasarkan dalil qat’ie (Al-Quran dan Hadis mutawatir):

         1.    Ijmak bersandarkan kepada al-Quran:

                   Contoh: Ijmak ke atas haram berkahwin dengan nenek dan ke atas dan cucu dan ke bawah                      berdasarkan firman Allah Taala dalam surah an-Nisa’  ayat 23:

 

Maksudnya: Diharamkan kepada kamu berkahwin Dengan (perempuan-perempuan Yang berikut): ibu-ibu kamu…..

Para ulama bersepakat mengatakan yang dimaksudkan dengan lafaz (الأمهاتكم) di dalam ayat di atas ialah perempuan-perempuan yang asal bagi kamu termasuklah ibu, nenek dan ke atas, dan yang dimaksudkan dengan lafaz (بناتكم) ialah perempuan-perempuan cabang kamu termasuk anak perempuan, cucu perempuan dan ke bawah.

2.    Ijmak bersandarkan kepada al-Sunah/ Hadis Mutawatir:

Contoh: Ijmak ulama menjelaskan diberi kepada nenek 1/6 dari harta pusaka. Kerana Rasulullah SAW telah memberi kepada nenek 1/6 dari harta pusaka.

 

B.   Sandaran ijmak berdasarkan dalil zanni:

1.    Ijmak bersandarkan kepada qiyas.
     Contoh: Pengharaman lemak babi yang diqiyaskan kepada haram dagingnya.
 
2.    Ijmak bersandarkan kepada maslahah mursalah
     Contoh: Sayidina Umar al-Khattab mencadangkan supaya al-Quran dihimpunkan dalam                              sebuah mashaf disebabkan bimbang kehilangan ayat-ayatnya. Hal ini berlaku  pada                        zaman khalifah Sayidina Abu Bakar ketika ramai para penghafal al-Quran telah                              terkorban dalam peperangan menentang kaum murtad.


 CONTOH SOALAN


1

(a)

(i)

Dengan memberikan dalil, berikan pengertian ijmak.

 [2]



(ii)

Terangkan jenis ijmak.

 [4]


(b)

Jelaskan pandangan ulama tentang kehujahan satu daripada jenis ijmak  tersebut.

 [6]


(c)

Bincangkan pandangan ulama tentang sandaran ijmak sebagai sumber hukum.                                                                       (Ulangan STPM Sem2 2014)

 [8]


2

(a)

Dengan memberikan  contoh, terang kan dua bahagian  ijmak.

 [4]


(b)

Huraikan  pandangan ulama usul fiqh  tentang  kehujahan  ijmak sarih.

 [8]


(c)

Bincangkan pendapat jumhur ulama usul fiqh yang menyatakan bahawa ijmak perlu mempunyai sandaran dalil. (Ulangan STPM Sem2 2016)


 [8]

 

3

(a)

Bezakan ijmak sarih dengan ijmak sukuti.

 [4]


(b)

Huraikan  pandangan ulama usul fiqh  tentang  kehujahan  ijmak sukuti.

 [8]


(c)

Bincangkan pendapat ulama usul fiqh yang menyatakan bahawa ijmak mesti mempunyai sandaran dalil. (STPM Sem2 2019)  


 [8]

 Soalan STPM 2022

4

(a)

Bezakan ijmak sarih dengan ijmak sukuti.

 [4]


(b)

Terangkan empat rukun ijmak.

 [8]


(c)

Bincangkan pandangan ulama usul fiqh tentang kedudukan ijmak sukuti sebagai sumber perundangan Islam

  [8]

 

 

Soalan STPM 2022 (Ulangan)

5

(a)

Berikan pengertian ijmak dan pembahagiannya berasaskan pernyataan dan persetujuan.

 

 [4]


(b)

Dengan memberikan dalil al-Quran dan dalil al-Sunnah, jelaskan kedudukan ijmak sebagai sumber hukum dalam perundangan Islam.

 

  [8]


(c)

Dengan memberikan contoh, bincangkan dua sandaran ijmak dan kesannya terhadap sesuatu hukum yang diputuskan berdasarkan ijmak tersebut.

 

  [8]


kepada para pengunjung, mohon maaf perkungsian ini belum berapa lengkap. in sya Allah akan diupdate. mohon komen dan saran yang membina ya...tq.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan