Pengikut

Isnin, 20 Mei 2024

Kaedah Fiqh: al-yaqin la yuzal bi al-syakk (اَليَقِيْنُ لَا يُزَالُ بِالشَّك)

 Objektif Pembelajaran:

a.                Menjelaskan pengertian kaedah, huraian dan contoh.

b.                Mengemukakan dalil yang berkaitan dengan kaedah al-yaqin la yuzal bi al-syakk.

c.                 Menjelaskan pengertian  kaedah terbitan, huraian  dan contoh.

d.       Mengemukakan kaedah terbitan dan mengaplikasikan dalam masalah semasa berdasarkan kaedah terbitan berikut:

                     i.   Al-asl  baqa’  ma  kana  ‘ala ma kana. (Asal sesuatu itu kekal sebagaimana keadaan sebelumnya)

                   ii.   Al-asl  bara’at  al-dhimmah. (Asalnya seseorang bebas daripada tanggungjawab)

                  iii.   Al-asl  al-‘adam. (Asal sesuatu itu tiada)

                  iv.   Al-asl  fi kull hadith taqdiruhu bi aqrab zaman. (Asal setiap kejadian diambil kira masa terdekat)

                    v.   Al-asl  fi  al-kalam al-haqiqah. (Asal pada sesuatu ucapan dikira maknanya yang hakiki)

  

1.    KONSEP KAEDAH  اَليَقِيْنُ لَا يُزَالُ بِالشَّك

Pengertian: 

Keyakinan tidak dihilangkan dengan keraguan

 

Huraian Pengertian:

Sesuatu yang telah diyakini tidak akan hilang dengan kedatangan syak (keraguan) ke atanya, tetapi keyakinan tersebut hanya boleh dihilangkan dengan keyakinan juga.[1]

 

Contoh:

·         Seorang yang sudah yakin ia berwuduk tetapi syak pada hadas, maka ia dikira masih berwuduk.

·         Seorang yang sudah yakin ia berhadas tiba-tiba ia syak berwuduk, maka ia dikira berhadas.

 

Dalil:

·           Al-Quran[2]:         

                           وَمَا يَتَّبِعُ أَكۡثَرُهُمۡ إِلَّا ظَنًّاۚ إِنَّ ٱلظَّنَّ لَا يُغۡنِي مِنَ ٱلۡحَقِّ شَيئاً

“Dan kebanyakkan mereka tidak menurut, melainkan suatu sangkaan sahaja. Sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan suatu kebenaran (iktikad)”

 

 

·         Hadis Rasulullah SAW:  

عن أبي سعيد الخدرى أنه قال , قال النبي صلى الله عليه وسلم , إِذَا شَكَّ أَحَدُكُمْ فِي صَلاَتِهِ فَلَمْ يَدْرِ كُمْ صَلَّى ثَلَاثًا أَمْ أَرْبَعًا, فَلْيَطْرَحْ الشَّكَّ وَلْيَبْنِ عَلَى مَا اسْتَيْقَنَ.

Dari Abu Said al-Khudri beliau berkata, Baginda Rasulullah SAW bersabda: Apabila salah seorang kamu telah timbul syak dalam solatnya, tidak diketahui lagi beberapa (rakaatnya) yang telah dilakukan, tiga atau empat? Maka hendaklah buangkan yang syak itu dan tunaikanlah atas apa yang telah diyakininya”.

 

·         Dalil akal/ akli:

Yakin lebih kuat dari syak kerana pada yakin itu wujud hukuman yang qat’i dan pasti. Maka ia tidak akan runtuh dengan syak sahaja.

  

2.   KEPENTINGAN KAEDAH DALAM KEHIDUPAN

1.       Mengelak daripada kesukaran dalam amalan.

2.       Supaya berhati-hati dalam ibadah.

3.       Supaya yakin dan tidak was-was.

4.       Supaya peka terhadap persekitaran.

 

             2.    KAEDAH TERBITAN

 

 Al-asl  baqa’  ma  kana  ‘ala ma kana) )الأَصْلُ بَقَاءُ مَا كَانَ عَلَى مَا كَانَ  1.

Pengertian:

Asal sesuatu itu dikira kekal berdasarkan keadaan asalnya.

 

Huraian Pengertian:

Perlu dikekalkan keadaan yang telah sedia ada pada mana-mana waktu dan berterusan dalam semua waktu sehinggalah sabit terputusnya/ bertukarnya.

Contoh:

1.        Seorang yang yakin berwuduk, kemudian dia syak berhadas, hukumnya masih berwuduk kerana asalnya dia berwuduk dan hadas hanya keraguan.

2.        Seorang yang yakin berhadas, kemudian dia syak berwuduk, hukumnya masih berhadas kerana asalnya dia berhadas dan wuduk hanya keraguan.

3.        Jika seseorang berniat ihram umrah, kemudian dia berniat ihram haji dan dia syak adakah dia berniat ihram haji sebelum tawaf atau selepas tawaf, ibadat haji tersebut dihukum sah.

4.        Jika seseorang berkahwin dan berihram, kemudian dia syak adakah dia berihram sebelum/ selepas berkahwin, maka dihukum perkahwinan itu sah.

5.        Seseorang yang makan di akhir malam, kemudian dia syak adakah fajar telah menjelang/ belum, maka dihukum sah puasanya kerana pada asalnya malam itu masih ada.

6.        Seseorang yang makan di akhir siang, kemudian dia syak adakah matahari telah terbenam/ belum, makan dihukum batal puasanya kerana pada asalnya siang masih ada.

7.        Wanita yang ditalak raj’ie mendakwa masa sucinya masih berlanjutan dan belum selesai, maka dibenarkan dakwaannya dan dia berhak mendapat nafkah ‘iddah kerana pada asalnya ‘iddah masih ada.

8.        A yang telah hilang 40 tahun dan waris-warisnya tidak pernah mendengar khabar berita tentangnya. Dalam masa yang sama, bapanya meninggal dunia dan meninggalkan harta yang banyak. A tetap berhak ke atas harta peninggalan bapanya selagi tiada bukti menunjukkan dia telah mati.

9.        Seorang yang menyucikan najis akibat jilatan anjing pada kakinya, kemudian dia syak adakah dia telah mencuci dengan tanah/ belum. Maka dihukum dia belum mencuci dengan tanah kerana yang yakin itu adalah ada najis.

10.     Seorang bapa mengahwinkan anak perempuannya dan yakin bahawa anak perempuannya itu masih dara. Kemudian ada 4 saksi perempuan membuat penyaksian bahawa gadis tersebut bukan dara ketika berlangsungnya akad nikah. Maka dihukum akad nikah itu sah kerana asalnya gadis itu tetap dara.

11.     Pasangan suami isteri yang telah hidup bersama bertelingkah di mana isteri membuat pengakuan suaminya itu tidak menunaikan tanggungjawab nafkah dan pakaian terhadapnya. Pengakuan istei diterima kerana asalnya nafkah adalah tanggungjawab suami.

12.     Seorang membeli makanan dan mendakwa ia menagndungi najis dengan hasrat untuk memulangkan semula kepada penjual. Dalam konteks ini, pengakuan penjual yang diterima kerana asalnya makanan tersebut adalah suci.

13.     Seorang membeli barang daripada penjual dan membuat dakwaan dia telah menjelaskan harganya, sebaliknya penjual mengatakan pembeli belum lagi menjelaskan bayaran. Dibenarkan kata-kata penjual berserta sumpahnya. Harga tersebut terus kekal menjadi tanggungjawab pembeli untuk melunaskannya selagi belum ada bukti yang menyatakan sabit pembayarannya.

14.   Seorang membeli komputer dan kemudian dia mendakwa komputer itu rosak. Dalam konteks ini, pengakuan penjual yang diterima kerana asalnya computer tersebut tidak rosak.

 

 

  Al-asl  al-‘adam) )الأَصْلُ الْعَدَمْ          2.    

Pengertian:

Asal sesuatu itu tiada.

 

Huraian Pengertian:

Umum diketahui bahawa العدمadalah lebih dahulu dari الوجود. Maka setiap sesuatu yang didakwa muncul/ wujudnya bererti ia di dahului oleh   العدم (tiada). Maka العدم sabit dengan yakin. Manakala الوجود diragui.   العدمitulah yang asal, maka mesti dikekalkan hingga terbukti sabit sesuatu yang menghilangkannya.

 

Contoh:

1.        Dalam masalah mudarabah, pemodal mendakwa ke atas peniaga ada keuntungan, sedangkan peniaga menafikan dakwaan itu. Maka penafian peniaga yang diterima kerana pada asalnya tiada keuntungan.

 

2.        Suami isteri bertelingkah dalam kes hubungan kelamin. Isteri mendakwa telah berlaku hubungan kelamin sedangkan suami menafikannya. Maka penafian suami yang diterima kerana pada asalnya tiada hubungan kelamin.

 

3.        Jika seseorang makan makanan milik orang lain, dia mendakwa pemilik makanan telah mengizinkannya, tetapi pemilik makanan menafikannya. Maka penafian pemilik makanan yang diterima kerana pada asalnya tiada keizinan.

 

4.        Ahmad berhutang dengan Bakar. Kemudiana Ahmad mendakwa dia telah menjelaskan hutang tersebut, tetapi tiada bukti dan Bakar menafikannya. Maka hutang tersebut dikira belum dijelaskan sehinggalah Ahmad dapat membuktikan yang dia telah menjelaskan hutang tersebut.

 

5.        Seorang bapa mengahwinkan anak perempuannya dan yakin bahawa anak perempuannya itu masih dara. Kemudian and 4 saksi perempuan membuat penyaksian bahawa gadis tersebut bukan dara ketika berlangsungnya akad nikah. Maka dihukum akad nikah itu sah kerana asalnya gadis itu tetap dara.

 

6.        Pasangan suami isteri yang telah hidup bersama bertelingkah di mana isteri membuat pengakuan suaminya itu tidak menunaikan tanggungjawab nafkah dan pakaian terhadapnya. Pengakuan istei diterima kerana asalnya nafkah adalah tanggungjawab suami.

 

7.        Seorang membeli makanan dan mendakwa ia menagndungi najis dengan hasrat untuk memulangkan semula kepada penjual. Dalam konteks ini, pengakuan penjual yang diterima kerana asalnya makanan tersebut adalah suci.

 

8.        Seorang membeli barang daripada penjual dan membuat dakwaan dia telah menjelaskan harganya, sebaliknya penjual mengatakan pembeli belum lagi menjelaskan bayaran. Dibenarkan kata-kata penjual berserta sumpahnya. Harga tersebut terus kekal menjadi tanggungjawab pembeli untuk melunaskannya selagi belum ada bukti yang menyatakan sabit pembayarannya.

 

9.        Seorang membeli komputer dan kemudian dia mendakwa komputer itu rosak. Dalam konteks ini, pengakuan penjual yang diterima kerana asalnya computer tersebut tidak rosak.

10.     Dua orang bersedia untuk mendirikan solat, tiba-tiba masing-masing mendengar bunyi keluar angin, tetapi keduanya saling menafikan. Maka dihukum kedua-duanya tidak diwajibkan berwuduk semula walaupun hakikatnya salah seoarng daripada mereka betal wuduknya.

11.     Berlaku pertelingkahan antara penjual dengan pembeli berkaitan kesihatan haiwan yang dijual belikan itu. Pembeli mengatakan haiwan itu sakit tetapi penjual menafikannya. Maka dibenarkan kata kata penjual kerana skait itu sifat mendatang. Diutamakan sihat daripada sakit/ cacat dan ia perlu kepada sesuatu yang yakin untuk mengesahkan sakit/ cacat itu berlaku.

12.     Seseorang tinggal di rumah orang lain dan menyatakan mendapat keizinan untuk tinggal tetapi dinafikan oleh pemilik rumah. Maka diterima kata-kata pemilik rumah kerana asalnya penggunaan milik orang lain itu tidak dibenarkan.

 

 )    Al-asl  bara’at  al-dhimmahالأَصْلُ بَرَأَةُ الذِّمَّة 3. 

Pengertian:

Asal seseorang itu bebas dari tanggungjawab

 

Huraian Pengertian:

Seseorang itu terlepas daripada tanggungjawab dan tidak terikat dengan sesuatu hak pun. Oleh itu, tidak diterima dakwaan melalui  penyaksian seorang saksi sahaja jika ia tidak diperkukuhkan dengan saksi-saksi lain atau dengan sumpah pendakwa.

 

Contoh:

1.       A mendakwa barang yang diberi pinjam kepada B mengalami kerosakan ketika di tangan B, tetapi A tidak mempunyai bukti bagi dakwaannya itu dan B menafikan dakwaan tersebut. Maka diterima penafian B kerana asalnya B bebeas dari sebarang tanggungjawab.

 

2.       Jika orang yang didakwa diperintahkan untuk bersumpah, tetapi dia enggan bersumpah, maka tidak boleh dijatuhkan hukuman ke atasnya kerana pada asalnya seseorang itu bebas dari tanggungjawab. Sebaliknya pendakwa diperintahkan bersumpah.

 

3.       Penjenayah yang melukakan seseorang mengatakan: : Itulah satu kesan luka yang saya cederakan awak.” Namun mangsa mengatakan: “Awak cederakan saya pada dua tempat, tetapi saya tutup dan balut di antara keduanya serta Nampak satu kesan luka sahaja”. Pengakuan yang diterima ialah kata-kata penjenayah kerana asalnya dia bebas daripada tanggungjawab.



 (Al-asl  fi kull hadith taqdiruhu bi aqrab zaman)الأَصْلُ فِي كُلِّ حَادِث تَقْدِيرُهُ بِأَقْرَبِ زَمَن 4. 

Pengertian:

Asal setiap kejadian diambil kira masa yang terdekat.

 

Huraian Pengertian:

Apabila berlaku perselisihan berkaitan dengan tarikh berlaku sesuatu peristiwa, maka kiraan waktunya adalah waktu yang paling hampir berlakunya kejadian itu.

 

Contoh:

1.       Jika seseorang melihat air mani pada pakaiannya dan dia tidak mengetahui adakah dia bermimpi, maka wajib dia mandi junub dan wajib mengulangi solat syang dilakukan selepas daripada tidurnya yang terakhir.

2.       Jika seseorang berwuduk dengn air sebuah perigi dan dia bersolat dengan wuduk tersebut. Selang beberapa hari kemudian, dia dapati bangkai tikus dalam perigi tersebut, maka hukumnya dia tidak wajib menggantikan kesemua solat yang telah ditunaikannya kecuali solat yang ditunaikan dengan wuduk terakhir yang dia yakin dengan air bernajis.

3.       Jika seseorang membuka sarang pintu sebuah sangkar burung, lalu burung itu keluar dari sangkar tersebut. Orang itu hendaklah membayar ganti rugi. Tetapi, jika burung itu berhenti sekejap dalam beberapa masa, kemudian barulah dia keluar dari sangkarnya, maka orang itu tidak wajib membayar ganti rugi kerana boleh jadi burung itu keluar dengan kehendaknya.

4.       Seseorang yang telah memukul perut perempuan yang hamil lalui prempuan itu melahirkan anak dan hidup beberapa hari dalam keadaan sihat kemudian anak itu mati, maka stidak wajib bayar diyat kerana pada zahirnya anak itu mati disebabkan faktor lain.

5.       Seorang doktor pakar telah Berjaya memisahkan bayi kembar siam. Beberapa hari kemudian, salah seorang daripada bayi itu meninggal dunia. Maka doktor tersebut tidak dibertanggungjawabkan ke atas kematian bayi tersebut kerana kemungkinan bayi itu mati disebabkan faktor lain dalam masa yang terdekat.

 

Pengecualian:

1.      Seseorang yang mencederakan orang lain dan mangsa mengalami penderitaan hingga saat kematiannya, maka dikenakan qisas ke atas orang yang melakukan kecederaan tersebut.

2.      Seseorang yang sakit tenat telah berhasrat dan menyatakan untuk mendermakan hartanya. Kemudiannya dia mati dibunuh/ mati lemas/ mati terjatuh. Dermanya hanya sah 1/3 daripada hartanya kerana dia dikira mati disebabkan sakit tenat.

 

    Al-asl  fi  al-kalam al-haqiqah) )الأَصْلُ فِي الْكَلَامِ الْحَقِيقَة 5. 

Pengertian:

Asal pada sesuatu ucapan itu dikira maknanya yang hakiki.

 

Huraian Pengertian:

Dalam sesuatu kalimah/ ucapan itu seharusnya diertikan pengertiannya yang hakiki terlebih dahulu, kecuali terdapat tanda atau pengucap kalimah itu maksudkan makna majaz.

 

Contoh:

1.       Seseorang mewakafkan harta kepada anaknya/ walad (ولد)ia membawa maksud anak sahaja, tidak termasuk cucu.

 

2.       Jika seseorang bersumpah tidak akan menjual/ membeli. Kemudian dia wakilkan kepada orang lain untuk menjual/ membeli sesuatu barang, maka hukumnya dia tidak melanggar sumpah dan tidak wajib membayar kafarah kerana mengambil kira makna hakiki.

 

3.       Jika seseorang berkata: “Aku wakafkan sebidang tanahku ini kepada penghafaz al-Quran”. Maka tidak termasuk dalam kategori ini oaring yang dahulunya menghafaz al-Quran, namun kini telah lupa.

 

4.       Jika seseorang berkata: “Aku berikan rumah ini kepada Zaid” perkataan demikian memberi erti dia mengakui hak milik rumah untuk Zaid. Jika dia mendakwa ia bermaksud memberi keizinan untuk tinggal sahaja, maka dakwaannya ditolak.

 

5.       Jika seseorang bersumpah tidak akan memasuki rumah Zaid, maka dia tidak dihukum melanggar sumpah jika dia masuk ke dalam rumah sewa Zaid kerana rumah yang disewa bukan rumah Zaid sebenarnya.

 

6.       Jika seseorang bersumpah tidak akan makan kambing. Jika dia makan daging kambing, maka hukumnya dia melanggar sumpah. Tetapi jika dia minum susu kambing, dia tidak dihukum melanggar sumpah kerana susu bukan makna hakiki kambing.

 

7.       Jika seorang bersumpah tidak akan melakukan akad jual beli. Dia tidak dikira melanggar sumpahnya jika dia melakukan akad jual beli yang tidak sah dari segi syarak seperti riba/ tipu.

 

8.       Jika seseorang mewakafkan harta untuk ahli waris Abrar, namun Abrar masih hidup. Wakaf itu tidak sah kerana berdasarkan maknanya yang hakiki.

 

 

CONTOH-CONTOH SOALAN

Soalan 2013

(a)

 (i).     Dengan memberikan contoh, terangkan pengertian kaedah al-yakin la yuzal bi al-syakk.  [4]

(ii).     Jelaskan dua kaedah terbitan al-yakin la yuzal bi al-syakk. [4]

(b)

Berdasarkan kaedah al-yakin la yuzal bi al-syakk, huraikan hukum dan kaedah terbitan bagi persoalan yang berikut:

 

(i)       Seorang lelaki telah memukul perut seorang wanita yang sedang sarat mengandung lalu wanita berkenaan melahirkan seorang bayi yang hidup dan sihat. Walau bagaimanapun, selepas dua minggu, bayi berkenaan meninggal dunia. [3]

(ii)     A telah hilang selama lebih 40 tahun dan waris-warisnya tidak pernah mendengar khabar berita tentangnya. Dalam masa yang sama, bapanya telah meninggal dunia dan meninggalkan harta yang banyak. [3]

(iii)    B dan C telah mendirikan rumah tangga lebih daripada 15 tahun. Pada suatu hati, C mendakwa bahawa suaminya, iaitu B tidak memberikan nafkah pakaian dan makanan kepadanya, tetapi dinafikan oleh B. [3] 

(iv)    D telah meminjam kereta daripada E, dan selepas dua hari dia telah memulangkannya. Seminggu selepas itu, E datang berjumpa dengan D untuk menuntut ganti rugi kerana kereta yang diberi pinjam sebelum ini telah rosak. Hal ini dinafikan oleh D. [3]

 

Soalan 2014

(a)

Terangkan kaedah اليقين لا يزال بالشك dari segi pengertian, huraian dan contoh. [6]

(b)

Kemukakan dalil naqli dan aqli bagi kaedah اليقين لا يزال بالشك dan kepentingan tersebut dalam kehidupan. [6]

(c)

Seseorang yang berjanabah telah selesai mandi kemudian dia syak sama ada dia telah berniat mandi wajib atau hanya mandi sunat pagi Jumaat.      Dengan berpandukan kaedah اليقين لا يزال بالشك, huraikan status janabah orang tersebut, kaedah terbitan yang perlu digunakan, dan jalan penyelesaiannya. [8]


Soalan 2014 (Ulangan)

(a)

Terangkan maksud kaedah al-yakin la yuzal bi al-syakk. [6]

(b)

Jelaskan dalil tentang kaedah al-yakin la yuzal bi al-syakk. [5]

(c)

Dengan berpandukan kaedah al-yakin la yuzal bi al-syakk, huraikan hukum dan kaedah terbitan bagi persoalan yang berikut:

     (i).     Seorang imam yakin tentang batal wuduknya, tetapi dia syak sama ada dia telah memperbaharui wuduknya atau tidak. [3]        

   (ii).     Pada 15 Ramadan, seorang lelaki minum pada akhir malam dan dia syak bahawa fajar telah terbit. [3]

  (iii).     Seorang wanita yang ditalak sebanyak dua kali oleh suaminya telah mendakwa di mahkamah syariah bahawa ‘iddahnya belum selesai dan dia menuntut nafkah ‘iddah daripada suaminya. [3]              

 

Soalan 2015

(a)

Terangkan pengertian اليقين لا يزال بالشك berserta contoh. [4]

(b)

Jelaskan empat kaedah terbitan bagi kaedah (a) di atas. [8]

(c)

Berdasarkan kaedah اليقين لا يزال بالشك, tentukan hukum dan kaedah terbitannya.

(i)       Seorang bapa mendakwa C telah mencederakan anaknya D, manakala C menafikannya dan enggan bersumpah.  [2]

(ii)     E makan pada petang hari ketika berpuasa, kemudian dia syak sama ada matahari sudah terbenam atau belum. [2]

(iii)    F telah beberapa hari menggunakan motosikal G. F mengatakan bahawa G telah memberi pinjam motosikal itu kepadanya. G pula menafikan kata-kata F. [2]

(iv)    H telah memakan harta J. H mengatakan J telah mengizinkannya tetapi dinafikan oleh J.  [2]                                                             

 

Soalan 2015 Ulangan

(a)

Berikan dalil daripada al-Quran dan al-Sunnah bagi kaedah اليقين لا يزال بالشك. [6]

(b)

Jelaskan kaedah الأصل بقاء ما كان على ما كان berserta contoh. [8]

(c)

Bincangkan aplikasi kaedah الأصل في الكلام الحقيقة dalam permasalahan hukum. [8]

 

Soalan 2016 Ulangan

(a)

“Suatu hukum yang disandarkan pada suatu keyakinan yang telah berlaku tidak akan berubah dengan sebab keraguan yang datang selepasnya.” Terangkan. [4]

(b)

Jelaskan maksud kaedah الأصل برأة الذمة berserta tiga contoh. [8]

(c)

Huraikan permasalahan yang berikut berdasarkan salah satu daripada kaedah terbitan  اليقين لا يزال بالشك.

(i)       Encik A berkata “Aku wakafkan hartaku ini untuk anakku B.” B pula mempunyai cucu. [4]

(ii)     Encik C bersumpah tidak akan membeli sesuatu pun. Kemudian dia mewakilkan Encik D untuk melakukan pembelian bagi pihaknya. [4]


Soalan 2017

(a)

Terangkan pengertian kaedah الأصل العدم. [4]

(b)

Huraikan maksud kaedah الأصل في كل حادث تقديره بأقرب زمن [8]

(c)

“Maksud yang sebenar pada kata-kata seseorang akan dikira sebagai asas dalam penentuan hukum.” Dengan mengemukakan kaedah terbitan, bincangkan penyataan di atas dan berikan dua contoh. [8]

  

Soalan 2018

(a)

Huraikan kaedah fiqh  اليقين لا يزال بالشك berserta contoh. [4]

(b)

Terangkan perkaitan kaedah الأصل برأة الذمة dengan permasalahan seperti berikut:

(i)     Dakwaan untung pemodal dalam akad mudarabah tetapi dinafikan oleh pengusaha.    [4]

(ii)    Dakwaan kerosakan oleh pemilik barang simpanan terhadap penyimpan. [4]                       

(c)

Jelaskan hukum dan kaedahnya bagi situasi seperti berikut:

  (i).     Encik A meminjam computer riba daripada Encik B, tiba-tiba computer riba itu rosak. Encik B meminta ganti rugi daripada Encik A.   [2]

(ii).     Encik C telah didakwa melakukan jenayah dan dikehendaki bersumpah namum Encik C enggan.  [2]

(iii).     Puan D berwuduk menggunakan air perigi selama beberapa hari. Pada hari berikutnya, dia mendapati ada bangkai burung merpati di dalam perigi tersebut. [2]

(iv).     Cik E telah bersahur namun syak telah terbit fajar. Walau bagaimanapun, dia tetap meneruskan puasanya. [2]

Soalan 2020

(a)

Jelaskan kaedah terbitan الأصل بقاء ما كان على ما كان berserta dengan contoh. [4]

(b)

Huraikan maksud الأصل برأة الذمة berserta dengan tiga contoh. [8]       

(c)

Hubung kaitkan permasalahan yang berikut dengan kaedah terbitan الأصل العدم:

  (i)     Dakwaan pekerja bahawa sesuatu perniagaan itu tidak untung diterima berbanding dengan dakwaan pemodal yang menyatakan sebaliknya. [2]

(ii)     Dakwaan orang yang diminta menyimpan barang mengenai kerosakan barang yang disimpannya diterima berbanding dengan dakwaan orang yang meminta barangnya disimpan. [2]

(iii)     Jika seorang isteri mendakwa bahawa suaminya tidak pernah membayar nafkah sepanjang tempoh perkahwinan mereka, maka suami perlu menunjukkan bukti bahawa nafkah tersebut telah dibayar untuk menolak dakwaan isteri. [2]

(iv)     Dakwaan pelajar terhadap guru bahawa tugasan telah dihantar tidak diterima jika tiada sebarang bukti dikemukakan. [2]


Soalan 2022 (Ulangan)

(a)

Terangkan dua dalil naqli bagi kaedah  اليقين لا يزال بالشك. [4]

(b)

Huraikan kaedah الأصل برأة الذمة dengan memberikan tiga contoh. [8]       

(c)

Huraikan permasalahan yang berikut dan kaitannya dengan kaedah terbitan  الأصل العدم :

     (i).     Dakwaan pelajarb terhadap guru bahawa tugasan telah dihantar.  [2]

   (ii).     Terdapat pertikaian antara suami dan isteri tentang pemberian nafkah. [2]

  (iii).     Dakwaan pengusaha terhadap pemodal bahawa sesuatu perniagaan itu tidak mendapat keuntungan, tetapi pemodal menyatakan sebaliknya. [2]

  (iv).     Berlaku percanggahan pendapat antara orang yang meminta barangnya disimpan dengan penyimpan barang mengenai kerosakan barang yang disimpan. [2]

  

Soalan 2023

(a)

Terangkan pengertian kaedah  اليقين لا يزال بالشك berserta dengan dua dalil. [6]

(b)

Jelaskan kaedah terbitan berserta dengan contoh.

(i)                   الأصل بقاء ما كان على ما كان [2]

(ii)                الأصل في الكلام الحقيقة [2]

(iii)              الأصل في كل حادث تقديره بأقرب زمن [2]

      

(c)

Huraikan permasalahan yang berikut dan kaitannya dengan kaedah terbitan yang bersesuaian:

     (i).     Berlaku perselisihan mengenai barangan yang rosak dalam jagaan penyimpanan barang. Pemilik barang meminta ganti rugi, tetapi penyimpan barang menafikan kerosakan tersebut.   [4]

   (ii).     Dalam kontrak mudharabah, pelabur mendakwa keuntungan telah diperloleh daripada pelaburan modalnya, namun pengusaha mengatakan tiada keuntungan disertai dengan sumpah.  [4]

 

Soalan 2023 (Ulangan)

(a)

Terangkan kaedah  اليقين لا يزال بالشك berserta dengan contoh dan dalil. [6]

(b)

Dengan memberikan dua contoh, jelaskan kaedah terbitan  الأصل في كل حادث تقديره بأقرب زمن .  [6]  

(c)

Huraikan perkaitan kaedah terbitan dengan permasalahan seperti yang berikut:

    (i).     Seorang wanita berstatus janda dipinang oleh seorang lelaki untuk dikahwini, tetapi syarat tidak membenarkan kerana wanita tersebut mendakwa masih dalam tempoh ‘iddah. [4]

   (ii).     Sepasang suami isteri baru melangsungkan akad nikah pada malam tadi. Keesokan paginya, suami mendakwa telah bersetubuh tetapi isteri menafikannya.  [2]

 

 

 

 

 

 

 

 

 



[1] Apabila telah sabit sesuatu perkara/ keadaan dengan yakin, kemudian dengan tiba-tiba timbul syak tentang wujud sesuatu yang menghilangkannya, maka perkara yang telah diyakini itulah yang diambil kira hinggalah sabit benar-benar sebab yang menghilangkannya.

[2] Yunus: 36

Tiada ulasan:

Catat Ulasan