Pengikut

Jumaat, 12 Julai 2024

Fiqh Mirath: Liabiliti

        

 

Hasil Pembelajaran:

a.        Menerangkan liabiliti dalam harta pusaka, iaitu perbelanjaan pengurusan jenazah, pembayaran hutang, harta sepencarian, pelaksanaan wasiat, dan hak waris.

 

 

Pengertian:

Harta pusaka (tarikah)- Barang kekal yang ditinggalkan oleh si mati

Liabiliti- Tanggungan dalam harta pusaka.

 

Pengertian liabiliti menurut Istilah:

Menurut jumhur fuqaha selain Hanafiah:

Setiap perkara yang ditinggalkan oleh si mati daripada harta benda seperti harta yang boleh dialih dan harta yang tidak boleh dialih dan hak-hak yang sabit baginya secara mutlak seperti manfaat ijarah, pinjaman, hak khiyar dan sebagainya.

 

Menurut Hanafiah:

Perkara yang ditinggalkan oleh si mati daripada harta benda dan hak-hak yang sebahagian dengan harta benda sahaja seperti harta boleh alih dan tidak dialih, juga hutang yang belum dibayar.

Islam amat mengambil berat tentang pembahagian harta pusaka dengan menentukan beberapa perkara yang berkaitan dengannya. Perkara tersebut penting diketahui untuk menjaga harta peninggalan si mati dari berlaku sebarang penyelewengan dalam pembahagian harta pusaka kepada waris-waris.  Perkara yang dimaksudkan ialah liabiliti dalam harta pusaka.

 

Liabiliti Dalam Harta Pusaka

Tanggungan dalam harta pusaka mengikut susunan sebagaimana berikut:

 

1.     Pengurusan jenazah

Iaitu segala kos pengurusan jenazah adalah diambil dari harta peninggalan si mati.

Menurut jumhur ulama, apabila seseorang meninggal dunia, perkara yang mula-mula dilakukan adalah menguruskan jenazah. Segala kos pengurusan si mati mula dari memandikan hingga menguburkannya adalah mengikut susah atau senangnya si mati.

Menurut ulama Hanafiah, jenazah hendaklah diuruskan secara sederhana, tidak membazir dan tidak pula kedekut.

Tidak termasuk dalam perbelanjaan pengurusan jenazah- perbelanjaan yang dilakukan kepada orang ramai seperti menyembelih lembu, kenduri arwah tujuh malam berturut-turut, kenduri sempena 40 hari, perbelanjaan sebagai upah membaca al-quran dan bertahlil di kubur atau di rumah dan sebagainya kecuali dengan keredhaan ahli waris.

 

2.     Membayar hutang

Selepas pengurusan jenazah maka hendaklah menjelaskan hutang-hutang si mati sekiranya ada. Pembayaran hutang hendaklah didahulukan dari melaksanakan wasiat. Ini berdasarkan kata Saidina Ali Karramallahuwajha:

رأيت رسول الله (ص) بَدَأَ بِالدَّين قَبْلَ الوَصيَّة

 

Maksud: Aku lihat Rasulullah memulakan dengan (membayar) hutang sebelum (melaksanakan) wasiat


Hutang terbahagi kepada 3 jenis iaitu:

1.   Hutang dengan Allah:-

®     Pendapat Hanafiah- Gugur dengan sebab mati. Waris tidak wajib menunaikannya kecuali apabila diwasiatkan.

®     Pendapat jumhur ulama- Hutang-hutang Allah wajib ditunaikan dari harta peninggalan si mati walaupun tidak diwasiatkan.

2.   Hutang dengan manusia:-

®     Jika orang perseorangan, wajib dibayar kecuali diberi kemaafan.

®     Jika berhutang dengan orang ramai, wajib dibayar.

3.   Hutang dengan Allah dan manusia:-

®     Pendapat Imam Malik dan Imam Hanafi- Jika tidak mampu membayar kedua-duanya serentak, hendaklah didahulukan hutang manusia dari hutang Allah. Hal ini kerana manusia berhajat dan memerlukan harta sedangkan Allah SWT. Maha kaya dan tidak berhajat kepadanya.

®     Pendapat Imam Syafie- Dahulukan hutang dengan Allah dari hutang dengan manusia dan apabila harta itu cukup untuk membayar kesemuanya, hendaklah jelaskan kesemua hutang sama ada hutang dengan Allah, manusia, atau kedua-duanya.

 

3.    Harta sepencarian

Iaitu menyelesaikan tuntutan harta sepencarian oleh suami atau isteri yang masih hidup jika harta itu diperolehi  dalam masa perkahwinan dan kedua-dua pihak masing-masing ada sumbangan sama ada secara langsung  atau tidak langsung. Kadarnya diputuskan oleh Mahkamah Syariah.

 

4.     Melaksanakan wasiat

Sekiranya si mati ada wasiat, hendaklah melaksanakan tidak lebih 1/3 dari baki harta yang ditinggalkan olah si mati selepas pengurusan jenazah, membayar hutang dan telah dituntut harta sepencarian.

 

Tidak harus melaksanakan wasiat jika lebih dari 1/3 harta peninggalan si mati kecuali dengan persetujuan semua ahli waris. Jika semuanya bersetuju maka terlaksanalah wasiat tetapi jika sebahagian sahaja bersetuju, wasiat boleh dilaksanakan sebahagian sahaja.

 

5.     Membahagikan harta pusaka (hak waris)

Iaitu membahagikan baki harta pusaka setelah melakukan 4 perkara di atas iaitu menguruskan jenazah, membayar hutang, melaksanakan tuntutan harta sepencarian dan melaksanakan wasiat. Hendaklah membahagikan harta pusaka kepada ahli waris yang berhak mengikut susunan waris yang berhak menerimanya.

 

CONTOH SOALAN

(Soalan STPM 2013)

(a)

Terangkan tiga penanan Mahkamah Syariah di Malaysia dalam urusan pentadbiran dan pembahagian harta pusaka orang Islam. [6]


(b)

Jelaskan tiga liabiliti harta pusaka yang perlu ditunaikan oleh waris sebelum pembahagian harta pusaka dilakukan. [6]


(c)

Terangkan pembahagian harta pusaka bagi seorang lelaki yang meninggal dunia dengan meninggalkan seorang anak lelaki, bapa, ibu, nenek (ibu kepada ibu si mati), dan datuk (bapa kepada bapa si mati). [8]

(Soalan STPM 2016 & Ulangan 2015)

 

(a)

Terangkan tiga perkara yang boleh dan tiga perkara yang tidak boleh menggunakan harta pusaka dalam pengurusan jenazah. [6]


(b)

Jelaskan hukum dan alasan bagi kes yang berikut:

(i) Encik D menggunakan harta peninggalan arwah bapanya bagi mengadakan jamuan kenduri kesyukuran tanpa persetujuan waris-waris lain.

(ii)  Semasa hidup, Encik E tidak berpuasa sebulan dalam bulan Ramadan kerana sakit. Beliau meninggal dunia sebelum sempat mengqada’ puasanya.

(iii) Encik F mewasiatkan sebidang tanah kepada anak lelaki sulungnya. Selepas Encik F meninggal dunia, semua waris tidak setuju dengan wasiat tersebut.  [6]


(c)

Selesaikan kes pusaka yang berikut:

  (i)  Seorang perempuan meninggal dunia dan meninggalkan ibu, dua orang saudara perempuan seibu sebapa, seorang saudara perempuan sebapa, dan tiga orang saudara lelaki sebapa. [4]

(ii)     Seorang lelaki meninggal dunia dan meninggalkan bapa, ibu kepada ibu (nenek sebelah ibu), dan tiga orang anak lelaki. [4]

 

(Soalan STPM 2017 & Ulangan 2016)

 

(a)

Terangkan maksud

  (i)     Harta sepencarian [2]

(ii)     Orang yang layak menuntut harta sepencarian selepas kematian. [2]


(b)

Seorang perempuan meninggal dunia dan meninggalkan hartaq dalam bentuk wang tunai berjumlah RM120.000.00. Waris terdiri daripada suami, tiga orang anak lelaki, seorang anak perempuan, bapa dan tiga saudara lelaki seibu sebapa. Huraikan pembahagian harta pusaka tersebut.  [8]


(c)

“Kebanyakan kes pembahagian harta pusaka secara muafakat yang diamalkan oleh masyarakat Islam di Malaysia dikatakan tidak menepati hukum syarak.” Bincangkan. [8]

  (Soalan STPM 2018 dan Ulangan 2017)

(a)

Terangkan empat liabiliti dalam harta pusaka. [4]


(b)

Peranan utama Mahkamah Syariah dalam pentadbiran harta pusaka orang Islam di Malaysia ialah mengeluarkan Sijil Faraid. Jelaskan cara permohonan sijil Faraid tersebut. [8]


(c)

Huraikan kes pembahagian harta pusaka bagi seorang lelaki yang telah meninggal dunia dengan meninggalkan seorang isteri, dua orang anak perempuan, tiga orang saudara perempuan seibu sebapa, dan seorang saudara lelaki sebapa. [8]

                 (Soalan STPM 2018 dan Ulangan 2017)

(a)

Dengan memberikan dua contoh, terangkan maksud halangan pewarisan.[4]


(b)

Jelaskan pandangan ulama mengenai pembayaran hutang si mati dengan Allah SWT dan pembayaran hutang si mati sesama manusia dengan menggunakan harta pusaka. [8]


(c)

Selesaikan kes pembahagian harta pusaka seperti berikut:

  (i)     Seorang lelaki meninggal dunia dengan meninggalkan ibu, empat orang anak perempuan, dan dua orang saudara perempuan seibu sebapa. [4]

(ii)     Seorang perempuan meninggal dunia dengan meninggalkan suami, ibu, dan bapa kepada bapa (datuk). [4]

(Soalan STPM 2021 dan Ulangan 2020)

(a)

Terangkan kedudukan suami dalam pembahagian harta pusaka. [4]


(b)

Jelaskan kaedah pelaksanaan wasiat dalam pembahagian harta pusaka. [6]


(c)

Seorang perempuan telah meninggal dunia dengan meninggalkan ibu, seorang saudara lelaki seibu, seorang saudara perempuan seibu, dan seorang saudara lelaki seibu sebapa. Semua waris si mati telah bersetuju dan bersepakat untuk mengagihkan harta pusaka yang bernilai RM60 000 secara sama rata.

Selesaikan pembahagian harta pusaka di atas sekiranya diagihkan secara faraid dan secara muafakat. [10]

 


(Soalan STPM 2022 & Ulangan 2021)

 

(a)

Mengapakah perkahwinan dan wala’ menjadi sebab pewarisan harta pusaka dalam Islam? [4]


(b)

Jelaskan kedudukan perbelanjaan pengurusan jenazah dalam liabiliti harta pusaka. [8]


(c)

Analisis pandangan fuqaha berkaitan dengan jenis pembunuhan yang menjadi halangan pewarisan. [8]

 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan