Pengikut

Sabtu, 8 Jun 2024

Usul Fiqh: Istishab

 

Objektif Pembelajaran:

a.                Menjelaskan konsep istishab dari segi pengertian, dalil dan contoh.

b.                Mengenal pasti lima bahagian istishab.

c.                 Menjelaskan maksud lima bahagian istishab serta mengemukakan dalil dan contoh bagi tiap-tiap bahagian.

d.                Membincangkan pendapat ulama mengenai kehujahan istishab dan memilih pendapat yang lebih kuat.

e.                Membincangkan beberapa masalah fiqh yang sering dihadapi dalam kehidupan seharian, iaitu:

                                         (i).           Pewarisan harta orang yang hilang tanpa sebarang berita.

                                       (ii).            Kedudukan wuduk jika keluar benda najis tidak melalui qubul dan dubur.

                                                                         (iii).                       Dakwaan keuntungan oleh pemodal dalam kontrak mudharabah.

 

Pengertian Istishab:

Pengertian: Mengekalkan hukum yang sedia ada selagi tiada dalil/hukum syarak yang mengubahnya.

Contoh:

Setiap makanan atau minuman atau perhiasan adalah harus dimakan, diminum atau dipakai selagi tidak ada dalil yang mensabitkannya haram.


Bahagian-bahagian Istishab:

1.       Menganggap hukum asal berterusan selagi tiada dalil yang boleh menyalahinya.

Contoh:                 هُوَ الَّذِى خَلَقَ لَكُمْ مَّا فِى الْأَرْضِ جَمِيْعًا....

 

Ayat di atas menjelaskan apa-apa yang ada di bumi adalah untuk manusia dan ia diharuskan untuk mereka. Sekiranya perkara tersebut diharamkan ke atas mereka, tentunya Allah tidak menjadikannya untuk manusia.

 

2.       Menganggap asal bebas daripada tanggungjawab itu berterusan sehingga ada dalil yang menunjuk kepada taklifnya. Ia membawa maksud, asalnya seseorang bebas daripada bebanan sehinggalah ada dalil atau bukti untuk memikul tanggungjawab.

Contoh:

“lelaki dan wanita tidak ditaklifkan untuk memikul tanggungjawab sebagai suami isteri selama mana mereka belum diakadkan dengan perkahwinan yang sah.”

 

3.       Menganggap berterusan sifat yang mensabitkan hukum syarak sehingga ada sabit sebaliknya. Ia bermaksud, tetap hukum dengan sifat asalnya sehingga ada dalil yang menunjukkan hukum sebaliknya.

Contoh:

Air pada asalnya adalah bersih dan dihukumkan bersih dan suci kecuali ada tanda-tanda yang menunjukkan ia dikotori najis seperti berubah bau, rasa atau warnanya.


4.       Ketetapan hukum menurut syarak dan akal terhadap sabit dan berkekalannya. Iaitu menganggap sesuatu ketetapan hukum berterusan/berlaku menurut syarak dan akal tentang sabit dan berkekalannya.

Contoh:

Hukum halalnya perhubungan antara lelaki dan perempuan adalah dengan sebab perkahwinan sehinggalah ada dalil yang menunjukkan haramnya perhubungan mereka seperti melalui perceraian dan fasakh.

 

5.       Menganggap berterusan hukum ijmak pada persoalan yang diperkaitkan.

Contoh:

Para ulama telah bersepakat mengatakan bahawa sah solat seseorang yang bertayamum apabila ia melihat air selepas memulakan solat atau selepas selesai mendirikan solat. Oleh yang demikian, hukum solat tersebut dianggap sah secara berterusan dan disepakati, sama ada tidak melihat air atau melihatnya selepas mendirikan solat.

 

Pandangan/pendapat ulama mengenai kehujahan istishab

1.       Pandangan kebanyakan Ulama mutakallimin

Ia tidak boleh dijadikan hujah kerana untuk mensabitkan sesuatu pada awalnya ia memerlukan kepada dalil, begitu juga pada waktu kemudiannya.

 

2.       Jumhur mutaakhirin al-Hanafiyyah

Menjadi hujah untuk mempertahankan dan menafikan sesuatu bukan untuk mensabit atau membenarkan sesuatu. Segelintir ulama Hanafi menggunakannya sebagai hujah tapi hanya pada nafi sahaja.

 

3.       Jumhur al-Malikiyyah, al-Shafi’iyyah, al-Hanabilah dan al-Zahiriyyah

Menjadi hujah untuk menetapkan sesuatu hukum yang telah sabit sehingga datangnya dalil menukar hukum tersebut.

 

MASALAH FIQH YANG SERING DIHADAPI DALAM KEHIDUPAN SEHARIAN

 

            (i).      Pewarisan harta orang yang hilang tanpa sebarang berita:

Pengertian

Orang hilang (mafqud) ialah orang yang tidak diketahui keadaannya sama ada hidup atau mati atau orang yang terputus beritanya dan tidak diketahui di mana kini dia berada.

Contoh:

Nelayan telah hilang di laut (pada 18 julai 1998). Pada waktu kejadian itu perahu yang digunakan untuk memancing telah karam. Sehingga kini belum ditemui dan tidak dapat disahkan sama ada masih hidup atau mati.

Seseorang yang merantau ke negeri orang dan dalam waktu yang cukup lama tidak

diketahui secara pasti tentang di mana dia berada, adakah masih hidup atau mati.



Fuqaha menetapkan beberapa hukum berkenaan orang yang hilang antaranya:

Ø  Isterinya tidak boleh dikahwini.

Ø  Hartanya tidak boleh diwariskan.

Ø  Hak pemilikannya tidak boleh diusik sehingga benar-benar diketahui keadaannya, apakah dia masih hidup atau sudah mati. Atau telah berlalu tempoh waktu tertentu dan dikira secara umum telah mati dan qadi atau hakim telah menetapkannya sebagai orang yang telah mati.

 

Batas waktu seseorang hilang menurut ulama:

Ulama dari empat mazhab mempunyai pandangan berbeza mengenai perkara ini.

1.       Mazhab Syafi’ie

Batas waktu orang hilang adalah 90 tahun. Iaitu dengan melihat umur orang-orang sebaya di wilayahnya. Menurut qaul shahih di dalam mazhab Syafi’e batas waktu tersebut tidak dapat ditentukan. Walau bagaimanapun dalam menentukan kematian berdasarkan kepada kadar hayat orang yang hilang itu, mestilah disertai dengan ketetapan hakim atau qadhi melalui ijtihadnya, kerana pada dasarnya orang hilang itu tetap dianggap masih hidup sehinggalah terdapat bukti yang menunjukkan dia sudah mati.

 

2.       Mazhab Hanafi

Orang yang hilang boleh diputuskan telah mati selepas membuat penelitian bahawa orang seusianya di kawasan tempat asalnya telah meninggal dunia.

 

3.       Mazhab Maliki

Batas waktu bagi menentukan mafqud telah meninggal dunia adalah 70 tahun. Hal ini berlandaskan hadis Rasulullah SAW bahawa umat Nabi Muhammad ialah di antara 60 hingga 70 tahun.

 

4.       Mazhab Hanbali

Batasan waktu bagi memastikan orang mafqud ini telah meninggal dunia ialah selama empat tahun sahaja.

 

Hak pusaka orang yang hilang (mafqud) menurut Islam:


        Telah sepakat para ulama yang empat bahawa orang hilang itu masih dianggap hidup dan isteri orang mafqud ini tidak boleh dinikahi, hartanya tidak boleh diwariskan (diagihkan) dan diapa-apakan sehingga ada bukti keterangan atas kematiannya atau diputuskan oleh hakim tentang kematiannya.

Setelah diputuskan dia sudah mati, barulah harta berkenaan boleh dibahagi-bahagikan kepada ahli waris yang mewarisinya ketika keputusan itu dibuat. Di dalam kitab Mughni Al-Muhtaj, imam Nawawi berkata:

 

“Dan sesiapa yang tertawan atau hilang atau terputus beritanya, maka harta bendanya hendaklah dibiarkan saja dahulu sehinggalah ada bukti kematiannya, atau sehinggalah berlalu satu tempoh masa yang menurut dugaan kuat dia tidak lagi hidup melebihi daripada tempoh masa itu. (perkiraan tempoh masa ini dimulai daripada tarikh dia lahir), maka pada ketika itu qadhi berijtihad memutuskan orang itu sudah mati. Kemudian harta bendanya itupun diberikan kepada ahli warisnya semasa jatuhnya keputusan qadhi itu”.

 

        Begitu juga orang yang hilang boleh mewarisi harta pewarisnya yang meninggal dunia sebelum keputusan mahkamah dibuat terhadapnya. Jika keputusan mengenai kematiannya telah dibuat oleh mahkamah, tetapi ternyata kemudiannya dia masih hidup, maka dia tidak boleh menuntut kembali bahagian harta yang telah dihabiskan oleh ahli warisnya kecuali mengambil apa harta yang masih berbaki sahaja.

 

 

           (ii).      Kedudukan wuduk jika keluar benda najis tidak melalui qubul dan dubur

 

Pendapat ulama Mazhab Imam Syafi’ie

Tidak batal wuduk kerena mengekalkan hukum sedia ada iaitu batal wuduk apabila keluar najis melalui dua jalan. Adapun yang keluar selain melalui dua jalan tersebut tidak ada nas yang jelas, maka hukum sedia ada dipakai.

Ini disokong dengan dalil:

Jabir menyatakan bahawa dalam satu peperangan, seorang lelaki dipanah dan darahnya mengalir, namun dia masih meneruskan solatnya dengan rukuk dan bersujud. (Hadis riwayat Bukhari)

 

 

                (iii).          Dakwaan keuntungan oleh pemodal dalam kontrak mudharabah

Dalam masalah mudharabah, pemodal mendakwa ke atas peniaga dan keuntungan, sedangkan peniaga menafikan dakwaan itu. Maka dakwaan peniaga hendaklah diterima kerana pada asalnya tiada keuntungan. Demikian juga jika peniaga mendakwa keuntungan hanya sebanyak RM50.00 maka dakwaan peniaga hendaklah diterima kerana pada asalnya tiada keuntungan yang lebih.

 

CONTOH-CONTOH SOALAN


Soalan STPM 2013 Ulangan

(a)

Terangkan konsep istishab dari segi pengertian, dalil dan contoh. [5]

(b)

Jelaskan pendapat ulama tentang kehujahan istishab. [9]

(c)

Berdasarkan prinsip istishab, bincangkan kedudukan wuduk jika keluar najis tidak melalui qubul dan dubur. [6]



Soalan STPM 2015

(a)

Berikan pengertian istishab. [2]

(b)

Dengan memberikan contoh, jelaskan empat bahagian istishab. [8]

(c)

Dengan menggunakan kaedah istishab, bincangkan kedudukan pewarisan harta orang yang hilang tanpa sebarang berita. [10]

 

Soalan STPM 2016 Ulangan

(a)

Terangkan tiga bahagian istishab berserta contoh. [4]

(b)

Jelaskan pandangan ulama yang menolak istishabsebagai hujah. [8]

(c)

Berdasarkan prinsip istishab, bincangkan dakwaan keuntungan oleh pemodal dalam kontrak mudarabah. [8]

 

Soalan STPM 2018

(a)

Terangkan tiga bahagian istishab berserta contoh. [6]

(b)

Huraikan tiga dalil daripada mazhab Syafie yang menerima istishab sebagai sumber hukum. [6]

(c)

Bincangkan aplikasi istishab dalam  situasi yang berikut:

        “Seorang  peniaga menjalankan perniagaan dengan seorang pemodal melalui kontrak mudarabah. Setelah beberapa ketika, peniaga tersebut mendakwa tiada sebarang keuntungan diperoleh sedangkan pemodal mendakwa sebaliknya”.  [8]



Soalan STPM 2021 (Ulangan)

(a)

Terangkan pengertian istishab berserta dengan dalil. [4]

(b)

Jelaskan empat bahagian istishab. [8]

(c)

Berdasarkan prinsip istishab, bincangkan hukum pewarisan harta orang yang hilang tanpa berita. [8]


Soalan STPM 2022 (Ulangan)

(a)

Terangkan pengertian istishab berserta dengan dalil. [4]

(b)

Jelaskan empat bahagian istishab berserta dengan contoh. [8]

(c)

Dengan menggunakan kaedah istishab, bincangkan dakwaan keuntungan oleh pemodal dalam kontrak mudarabah. [8]

  

Soalan STPM 2023 (Ulangan)

(a)

Terangkan pengertian istishab berserta dengan dalil dan contoh. [6]

(b)

Berdasarkan prinsip istishab, huraikan permasalahan berikut:

     (i).     Pewarisan harta orang yang hilang tanpa berita. [2]

   (ii).     Dakwaan keuntungan oleh pemodal dalam kintrak mudarabah. [2]

  (iii).     Kedudukan wudu jika keluar benda yang najis yang tidak melalui qubul dan dubur. [2]

(c)

Bincangkan pendapat ulama mengenai kedudukan istishab sebagai sumber hukum dalam perundangan Islam. [8]

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan