Pengikut

Khamis, 23 Mei 2024

Usul Fiqh: Al-Qiyas

 

Objektif Pembelajaran:    

a.  Menjelaskan pengertian qiyas.   

b .     Mengenal pasti empat hukum qiyas.          

c .      Menjelaskan syarat bagi setiap rukun berserta contoh.  

 d.      Mengkategorikan dua jenis qiyas berdasarkan kekuatan illah, iaitu qiyas al-jali (al-awla, qiyas al-musawi) dan qiyas al-khafi (qiyas al-adna).

   e.     Membahaskan perbezaan pendapat ulama tentang qiyas sebagai sumber hukum. 

   f.       Menentukan hukum menggunakan teori qiyas bagi kes berikut:

                             (i).            Penyalahgunaan dadah.

                            (ii).           Air tapai yang memabukkan.

                          (iii).            Pertukaran wang dengan wang.

                                                    (iv).                      Air berkarbonat.

 

Pengertian Qiyas:

Menzahirkan persamaan sesuatu perkara yang tidak ada nas tentang hukumnya dengan suatu perkara lain yang ada nas tentang hukumnya kerana kedua-duanya mempunyai persamaan dari segi illah hukum.


Contoh Qiyas:

Surah al-Maidah: 90

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِنَّمَا ٱلۡخَمۡرُ وَٱلۡمَيۡسِرُ وَٱلۡأَنصَابُ وَٱلۡأَزۡلَٰمُ رِجۡسٞ مِّنۡ عَمَلِ ٱلشَّيۡطَٰنِ فَٱجۡتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ 

Wahai orang-orang Yang beriman! Bahawa Sesungguhnya arak  dan judi  dan pemujaan berhala dan mengundi nasib Dengan batang-batang anak panah  adalah (Semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.

 

Yang dimaksudkan arak oleh sebahagian para fuqaha ialah nama minuman yang memabukkan yang dibuat dari buah anggur sahaja.

 

Oleh itu, dapat difahami dari ayat di atas bahawa haram meminum arak (yang dibuat dari anggur). Illahnya kerana ia memabukkan, dan didapati minuman lain yang memabukkan seperti tuak, tetapi tiada dinyatakan hukumnya di dalam al-Quran atau sunnah. Di sinilah ulama mujtahidin menggunakan qiyas bagi menentukan hukum haram ke atas dadah dan tuak kerana ia sama dengan arak di segi illah hukum iaitu memabukkan.

 

Rukun Qiyas:

1.       Al-Asl – Perkara yang telah sedia ada dalam nas.

2.       Al-Far’u / furu’ – Perkara baru yang tiada nas tentang hukumnya.

3.  Al-Illah – suatu sifat yang nyata dan tidak berubah yang dibina hukum berasaskan      kewujudannya.

4.       Hukum asal – Hukum syarak bagi sesuatu perkara yang telah ditetapkan oleh nas.


SYARAT-SYARAT QIYAS:

1.     Syarat-syarat Hukum Asal:

Ø    Hukum asal merupakan hukum syarak berbentuk amaliah yang telah sabit atau ditetapkan oleh nas al-Quran atau sunnah.


Ø     Hukum asal hendaklah  hukum yang mana illahnya dapat difahami oleh akal.

Contoh:

Tidak sah qiyas hukuman yang hanya Allah sahaja mengetahui illah-illahnya iaitu hukum-hukum ta’abbudiah seperti menentukan bilangan raka’at sembahyang, menentukan kadar nisab zakat harta, menentukan bilangan sebab had zina dan sebagainya.

 

Ø   Hukum asal mestilah mempunyai illah yang mungkin terlaksana atau mungkin ada pada furu’.

Contoh:

Tidak boleh qiyas harus tidak berpuasa Ramadhan ke atas mereka yang bekerja berat dengan musafir yang diharuskan buka puasanya.

 

Ø     Hukum asal itu bukan sesuatu hukum yang berlaku khusus yang telah sabit melalui nas.

Contoh:

Tidak sah qiyas pada hukum yang hanya tertentu kepada Rasulullah SAW seperti ketentuan Rasulullah SAW berkahwin lebih dari empat isteri, diharamkan kahwin dengan mana-mana isteri rasulullah SAW setelah wafatnya dan ketentuan Khuzaimah bin Thabit dengan diterima saksinya secara perseorangan.

 

Ø  Hukum asal tidak dimansukhkan atau tidak dibatalkan. Ini kerana illah hukum dengan sendirinya akan terbatal jika hukum itu dimansukhkan. Apabila illah hukum itu terbatal, sudah tentu qiyas tidak terlaksana kerana illah merupakan asas qiyas.

 

2.     Syarat-syarat Furu’ (cabang):

Ø   Pada furu’ terdapat illah yang ada pada asal. Antara lain, furu’ adalah sama dengan asal  dari segi illah hukumnya. Oleh sebab itu, jika tiada persamaan ini dari segi illah, dengan sendirinya tiada persamaan dari segi hukum dan seterusnya tidak wujud qiyas yang sah. Dinamakan qiyas yang tiada persamaan dari segi illah sebagai qiyas yang berbeza illah.

 

Ø   Pada furu’ tidak terdapat nas al-Quran / hadis / ijmak yang menunjukkan sesuatu hukum yang berlawanan dengan qiyas.

Contoh: firman Allah dalam surah al-Baqarah: 185

وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوۡ عَلَىٰ سَفَرٖ فَعِدَّةٞ مِّنۡ أَيَّامٍ أُخَرَ

dan sesiapa Yang sakit atau Dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari Yang ditinggalkan itu pada hari-hari Yang lain.

 

 

 Kewajipan solat tidak boleh diqiyaskan dengan puasa bagi orang yang musafir kerana ia menyalahi ijmak ulama yang mana sembahyang tidak boleh ditinggalkan kerana walaupun dalam keadaan musafir, bahkan solat wajib ditunaikan dalam apa jua keadaan.

 

Ø     Hukum furu’ tidak boleh mendahului hukum asal dari segi sabitnya.

Contoh:

Tidak sah (batal) qiyas wuduk terhadap tayamum dari sudut niat walaupun illah kedua-duanya untuk bersuci / ibadat. Ini kerana wuduk disyariatkan sebelum hijrah sedangkan tayamum disyariatkan selepasnya.

 

Ø    Hukum yang dipindahkan kepada furu’ hendaklah sama dengan hukum asal ataupun sama furu’ dengan asal.

Contoh:

Tidak sah qiyas wuduk terhadap tayamum atas dasar illah kedua-duanya menyucikan. Ini kerana wuduk dan tayamum tidak sama dari sudut membersihkan. wuduk menggunakan air dan dapat menghilangkan kekotoran sedangkan tayamum menggunakan debu tanah dan tidak dapat membersihkan kekotoran malah ia mencemarkan, tetapi syarak menganggap tayamum sebagai pembersih ketika hendak menunaikan solat dan tiada airatau timbul kemudaratan kerana menggunakannya. Oleh sebab itu, wuduk dan tayamum tidak sama, maka tidak boleh diqiyaskan salah satu daripada keduanya ke atas yang satu lagi.

 

 

3.     SYARAT-SYARAT ILLAH (SEBAB):

Ø   Illah hendaklah merupakan suatu keadaan atau sifat yang zahir iaitu dapat difahami oleh pancaindera kerana ia merupakan tanda kepada hukum. Oleh sebab itu jika ia tidak jelas, maka ia tidak layak menjadi tanda.

Contoh:

Tidak sah dijadikan redha-meredhai di antara penjual dan pembeli sebagai illah pertukaran milik barangan. Ini kerana redhai itu berkaitan dengan hati dan tidak dapat difahami oleh pancaindera. Apa yang boleh dijadikan illah untuk menunjukkan redha ialah ijab dan qabul.

 

Ø   Illah hendaklah merupakan suatu sifat atau keadaan yang pasti dan tetap dalam semua  keadaan dan orang.

Contoh:

Tidak sah dijadikan kesukaran sebagai illah diharuskan berbuka puasa bagi orang musafir dan sakit. Hal tersebut kerana kesukaran itu merupakan antara perkara yang jelas berlainan dengan sebab berlainan orang dan keadaan. Apa yang boleh dijadikan illah di situ ialah musafir dan sakit. Kerana ia merupakan sifat yang jelas dan tetap.

 

Ø     Illah itu hendaklah suatu sifat dan keadaan yang sesuai dan munasabah dengan hukum.

Contoh:

Mabuk dalam nisbah pengharaman arak untuk mencegah bahaya terhadap manusia.

 

Ø   Illah itu bukan merupakan suatu sifat atau keadaan yang hanya wujud pada asal sahaja,  bahkan ia harus terdapat pada furu’.

Contoh:

Diharuskan berbuka puasa Ramadhan bagi orang musafir dan sakit illahnya ialah safar dan sakit. Kedua-duanya merupakan sifat yang terbatas kepada asal sahaja kerana safar tidak didapati kecuali pada orang musafir dan sakit tidak didapatinya kecuali pada orang sakit. Maka tidak boleh diqiyas ke atasnya akan orang-orang yang kerja berat yang mengalami kesukaran kerana tidak ada illah hukum padanya.

 

 

BAHAGIAN QIYAS

1.     Qiyas al-khafi:

Iaitu qiyas yang tidak diyakini illahnya memberi kesan kepada hukum atau sebaliknya. Ia juga dikenali sebagai istihsan.

Contoh:

Wanita berhaid diharuskan membaca al-Quran berdasarkan qiyas al-Khafi atau istihsan dan diharamkan membaca al-Quran berdasarkan qiyas al-jali. Wanita berhaid diharuskan membaca al-Quran berdasar qiyas khafi kerana ia berbeza dengan orang berjunub dari segi waktunya. Waktu berjunub tidak lama, sedangkan masa haid adalah lama. Sekiranya sepanjang masa haid mereka tidak dapat membaca al-Quran ketika berhaid. Sedangkan lelaki dapat membacanya sepanjang masa.

 

Qiyas al-Khafi hanya terbatas kepada qiyas al-adna sahaja iaitu qiyas yang illah pada hukum far’u lebih rendah dari illah hukum asal.

Contoh:

Haram menjual buah epal dengan epal dibandingkan gandum dengan gandum, di mana illah buah epal lebih rendah daripada gandum yang menjadi makanan asasi.

 

2.     Qiyas al-jali:

Iaitu qiyas yang mempunyai illah yang jelas dan boleh dikenal pasti pada hukum asal dan far’u.

Contoh:

Qiyas haram memukul ibu bapa dengan pengharaman berkata “ah” kepada mereka kerana ia menyakiti keduanya.

فَلَا تَقُل لّهُمَا أُفٍّ

Maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “ah”

 

 

Contoh qiyas jali:

Ø    Qiyas yang sebabnya sabit dengan nas.

Larangan bersuci dengan darah yang najis diqiyaskan kepada larangan bersuci dengan tahi binatang. Sebab hukum asal sabit dengan nas di mana Ibnu Mas’ud telah datang kepada Rasulullah SAW dengan membawa dua ketul batu dan tahi binatang untuk digunakan oleh Baginda SAW untuk bersuci. Baginda SAW mengambil dua ketul batu itu dan melemparkan tahi binatang seraya berkata هذا ركس” maksudnya “ini najis”.


Ø    Qiyas yang sebabnya sabit dengan ijmak

Nabi SAW telah melarang seorang qadi daripada menghukum dalam keadaan marah. Qiyas larangan qadi menghukum dalam keadaan menahan air kecil kepada larangan menghukum dalam keadaan marah adalah merupakan qiyas yang jelas kerana sebab bagi asalnya iaitu fikiran terganggu dan hati tidak tenteram telah sabit dengan ijmak.

 

Ø    Qiyas yang pasti kerana tiada perbezaan antara asal dan cabang

Larangan memusnahkan harta anak yatim dengan dipakai. Ini diqiyaskan kepada larangan memusnahkan harta anak yatim dengan dimakan, kerana jelas bahawa tiada perbezaan kedua-duanya.

 

Qiyas jali terbahagi kepada dua jenis iaitu:

1.       Qiyas al-awla

2.       Qiyas al-musawi

 

Qiyas al-awla:

Ialah illah pada hukum furu’ adalah lebih kuat daripada illah hukum asal. Antara lain ia bermaksud furu’ di dalam qiyas lebih utama atau kuat dari segi hukum daripada asal.

Contoh:

Haram memukul ibu bapa diqiyaskan dengan haram mengatakan ‘ah’ kepada keduanya dengan illah menyakiti.

 

Qiyas al-musawi:

Ialah qiyas yang kekuatan illahnya pada hukum far’u menyamai illah pada hukum asal.

Contoh:

Mengqiyaskan haram membakar atau memusnahkan harta anak yatim kepada haram memakannya. Di mana illah ialah merosakkan dan menghabiskan harta sebagaimana firman Allah dalam Surah an-Nisa:10

إِنَّ ٱلَّذِينَ يَأۡكُلُونَ أَمۡوَٰلَ ٱلۡيَتَٰمَىٰ ظُلۡمًا إِنَّمَا يَأۡكُلُونَ فِي بُطُونِهِمۡ نَارٗاۖ وَسَيَصۡلَوۡنَ سَعِيرٗا 

Sesungguhnya orang-orang Yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke Dalam perut mereka.

 

Perbezaan di antara qiyas jali dan qiyas khafi ialah bahawa illah pada qiyas jali terkadang dinaskan dan terkadang diistinbatkannya. Manakala illah pada qiyas khafi hanya diistinbatkan sahaja.

  

PENDAPAT ULAMA TENTANG KEHUJAHAN QIYAS

 

KEHUJAHAN QIYAS

1.     Jumhur ulama sepakat mengatakan bahawa al-qiyas boleh dijadikan hujah dan sebagai sumber hukum syarak.

2.    Manakala golongan Nizamiah, Zahiriah dan segolongan puak Syiah berpendapat al-qiyas tidak boleh dijadikan sebagai hujah.


a.     Golongan yang menerima (Jumhur ulama):

Alasan dan hujah:

a)       Dalil al-Quran (Surah al-Hasyr:2)

فَٱعۡتَبِرُواْ يَٰٓأُوْلِي ٱلۡأَبۡصَٰرِ 

“Maka insaflah dan ambillah pelajaran (dari peristiwa itu) wahai orang-orang yang berakal fikiran serta celik mata hatinya.”

b)    Dalil Hadis

Hadis berkaitan dengan perutusan Mu’az ke Yaman. Telah terbukti melalui hadis sahih bahawa Nabi sendiri menggunakan ijtihad Baginda dan al-Qiyas untuk mengeluarkan hukum yang tidak ada wahyu tentangnya. Justeru itu, berijtihad dan menggunakan al-qiyas adalah salah satu daripada sunnah nabi.

 

c)     Dalil Ijmak

Para sahabat sepakat berhujah dengan qiyas dan beramal dengannya. Hal tersebut berdasarkan riwayat yang sabit sanadnya secara mutawatir maknawi, yang mana para sahabat terkemuka berhujah dengan qiyas dan beramal dengannya. Antara lain  juga perkara tersebut berlaku dalam banyak masalah dan tiada seorang pun daripada kalangan sahabat yang mengingkarinya.

Antara contohnya ialah:

Para sahabat sepakat melantik Abu Bakar sebagai khalifah berdasarkan qiyas terhadap pelantikan beliau sebagai imam sembahyang sewaktu hayat nabi. Di mana sebahagian sahabat mengatakan:“Rasulullah SAW meredhai Abu Bakar dalam perkara agama, mengapakah kita tidak boleh meredhainya sebagai ketua kita dalam perkara dunia”.

 

d)    Dalil akal

Islam adalah agama yang sempurna hingga hari kiamat. Hukumnya juga melibatkan masalah yang berlaku dan akan berlaku. Namun penurunan wahyu telah tamat. Tetapi masalah tidak berkesudahan dan terus lahir. Justeru itulah perlunya qiyas untuk mengeluarkan hukum baru dengan berdasarkan persamaan illah atau sebab lahirnya hukum yang dijelaskan dalam nas.

 

b.     Golongan yang Menolak (Al-Nizamiah, Zahiriah dan sebahagian syiah):

Alasan dan hujah

a.       Dalil al-Quran yang melarang dari mengikut zann

وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ

Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya.

 

Qiyas adalah perkara zann. Hal tersebut disebabkan ia berasaskan kepada zann di mana illah atau sebab kerananya disyariatkan hukum di dalam nas yang dijelaskan. Justeru itu qiyas dilarang dari diikuti dan beramal dengannya. Contohnya beramal dengan hadis Ahad walaupun ia Cuma bertaraf zanni bukannya qat’ie.

 

b.  Para sahabat yang terkemuka mengingkari qiyas dan beramal dengannya serta tiada  seorang pun dari kalangan sahabat-sahabat lain yang menentangnya. Ini merupakan ijmak dari kalangan sahabat terhadap tidak harus beramal dengan qiyas.

 

c.     Qiyas dan penggunaannya boleh membuka ruang ke arah perselisihan dan pertelingkahan di antara umat kerana berasaskan kepada zanni. Sedangkan Islam tidak suka kepada perselisihan.

Jumhur membidas hujah ini dengan mengatakan bahawa perselisihan yang dilarang oleh syariat Islam ialah perselisihan mengenai akidah-akidah atau urusan peperangan dan politik negara, bukannya dalam perkara yang berkaitan dengan hukum-hukum syarak yang berbentuk amali sebagaimana firman Allah dalam surah al-Anfaal: 46

وَلَا تَنَٰزَعُواْ فَتَفۡشَلُواْ وَتَذۡهَبَ رِيحُكُمۡۖ

dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu

 

Ayat di atas menjelaskan bahawa perselisihan dan perbalahan yang menyebabkan gagal dan hilang kekuatan dan negara ialah perselisihan mengenai akidah-akidah dan urusan peperangan bukan mengenai hukum-hukum fiqh.

 

Kesimpulannya, pendapat jumhur tersebut merupakan pendapat yang lebih tepat lantaran itulah mengikut pendapat jumhur ulama, qiyas hanya menjadi hujah dalam hukum-hukum agama yang bersifat amaliah. Ia merupakan sumber ke empat dalam sistem perundangan Islam, kerana ia berdasarkan nas walaupun tidak secara langsung. Walaupun jumhur ulama menerima kehujahan qiyas, namun sesiapa yang menolaknya tidak dikira kufur.

 

 

APLIKASI QIYAS DALAM MENENTUKAN HUKUM TERHADAP MASALAH SEMASA

 

1.    Penyalahgunaan dadah dan air tapai yang memabukkan:

·   Dalam kes dadah dan air tapai yang memabukkan, kaedah qiyas telah digunakan bagi mencari hukum meminumnya. Ini kerana kes tersebut merupakan suatu kes yang baru (furu’) yang tidak terdapat hukumnya di dalam nas.

·   Dalam kes ini, ia diqiyaskan dengan arak sebagai asal di mana hukumnya adalah haram sebagaimana yang telah ditetapkan oleh nas iaitu firman Allah dalam surah al-Maidah: 90:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِنَّمَا ٱلۡخَمۡرُ وَٱلۡمَيۡسِرُ وَٱلۡأَنصَابُ وَٱلۡأَزۡلَٰمُ رِجۡسٞ مِّنۡ عَمَلِ ٱلشَّيۡطَٰنِ فَٱجۡتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ 

Wahai orang-orang Yang beriman! Bahawa Sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib Dengan batang-batang anak panah, adalah (Semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.

 

·     Dalam kes asal, iaitu arak diharamkan kerana mempunyai illah hukum iaitu memabukkan dan begitu juga sifat atau illah yang ada pada air tapai.

·     Oleh sebab kedua-duanya iaitu arak (asal) dan dadah/air tapai yang memabukkan (furu’) mempunyai persamaan dari segi illah iaitu memabukkan, maka hukum meminum air tapai yang memabukkan adalah haram sebagaimana hukum asal.

 

2.    Pertukaran wang dengan wang

·   Dalam kes pertukaran wang dengan wang, kaedah qiyas telah digunakan bagi mencari hukum menukarnya. Ini kes tersebut merupakan suatu kes yang baru (furu’) yang tidak terdapat hukumnya di dalam nas.

·   Dalam kes ini, ia diqiyaskan dengan riba (segala bentuk matawang yang ada di dunia walaupun bukan emas dan perak adalah barang ribawi). Hukumnya adalah haram sebagaimana yang telah ditetapkan oleh nas iaitu firman Allah:

وَأَحَل اللهُ البَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَوأ......

·        Dalam kes asal, iaituriba diharamkan kerana mempunyai illah hukum, iaitu penindasan dan begitu juga sifat atau illah yang ada pada pertukaran wang dengan wang.

·   Oleh sebab kedua-duanya iaitu riba (asal) dan pertukaran wang dengan wang (furu’) mempunyai persamaan dari segi illah, iaitu penindasan, maka hukum pertukaran wang dengan wang adalah haram sebagaimana hukum asal.

·    Namun untuk mengharuskan apa-apa jual beli / pertukaran sesama barang ribawi dalam kategori ini, pertukaran mestilah berlaku pada mata wang yang tidak sama nilainya dan perlu dan perlu dibuat secara tunai untuk mengelakkan berlakunya riba.

 

3.    Air berkarbonat

·  Dalam kes air berkarbonat, kaedah qiyas telah digunakan bagi mencari hukum  meminumnya. Ini kerana kes tersebut merupakan suatu kes yang baru (furu’) yang tidak terdapat hukumnya di dalam nas.

·     Dalam kes asal, ia diqiyaskan dengan arak (asal). Arak diharamkan kerana memabukkan  dan menghilangkan kewarasan akal (illah). Sifat atau illah tersebut tidak terdapat pada air  berkarbonat.

·    Oleh sebab tiada persamaan dari segi illah, maka hukum meminum air tersebut adalah harus.

 

CONTOH-CONTOH SOALAN

 

Soalan STPM 2013

(a)

Terangkan  konsep qiyas dari segi pengertian dan rukunnya. [6]

(b)

Jelaskan pendapat ulama mengenai kehujahan qiyas. [6]

(c)

Dengan menggunakan kaedah qiyas, bincangkan hukum meminum air tapai. [8]

 

Soalan STPM 2015

(a)

Dengan memberikan  contoh, terangkan maksud qiyas al-jali. [4]

(b)

Jelaskan dua pandangan fuqaha tentang kehujahan qiyas sebagai dalil hukum syarak. [8]

(c)

Dengan menggunakan prinsip qiyas, bincangkan hukum pertukaran wang dengan wang. [8]

 

Soalan STPM 2017

(a)

Terangkan empat syarat hukum  asal dalam qiyas. [4]

(b)

Jelaskan maksud  qiyas awla, qiyas musawi dan qiyas adna. [6]

(c)

Dengan menggunakan kaedah qiyas, bincangkan hukum meminum air berkarbonat. [10]


Soalan STPM 2018 (Ulangan)

(a)

Berikan pengertian qiyas al-awla berserta contoh. [4]

(b)

Jelaskan pendapat ulama tentang kehujahan qiyas dengan mengemukakan dalil bagi menyokong pendapat tersebut. [6]

(c)

Berdasarkan rukun qiyas, analisis hukum meminum minuman berkarbonat. [10]


Soalan STPM 2019 (Ulangan)

(a)

Berikan empat rukun qiyas. [4]

(b)

Huraikan maksud  qiyas awla, qiyas musawi, dan qiyas adna berserta dengan contoh. [6]

(c)

Dengan menggunakan kaedah qiyas, bincangkan hukum penyalahgunaan dadah. [10]

 

Soalan STPM 2021

(a)

Bezakan qiyas awla dengan qiyas adna berserta dengan contoh. [4]

(b)

Terangkan tiga dalil yang menerima qiyas. [6]

(c)

Dengan menggunakan kaedah qiyas, bincangkan hukum penyalahgunaan dadah. [10]

 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan