Pengikut

Selasa, 21 Mei 2024

Kaedah Fiqh: Al-Darar Yuzal (اَلضَّرَرُ يُزَالُ)

 

Objektif Pembelajaran:

a.                Menjelaskan pengertian kaedah, huraian dan contoh.

b.                Mengemukakan dalil yang berkaitan dengan kaedah al-darar yuzal.

c.                 Menjelaskan pengertian kaedah terbitan, huraian dan contoh.

d.       Mengemukakan kaedah terbitan dan mengaplikasikan dalam masalah semasa berdasarkan kaedah terbitan berikut:

                                 i.    Al-Darurat tubih al-mahzurat (kemudaratan mengharuskan larangan).

                               ii.    Ma ubih li al-darurah yuqaddar bi  qadariha (Apa yang diharuskan kerana darurat mengikut kadar yang sepatutnya sahaja).

                              iii.    Al-Darar la yuzal bi al-darar ( Kemudaratan tidak dihilangkan dengan kemudaratan yang lain)

                              iv.    Dar’ al- mafasid muqaddam ‘ala jalb al-masalih ( Menolak kerosakan diutamkan dari mengambil kemaslahatan)

                                v.    Al-Hajah tanzil manzilat al-darurah ( Hajat mengambil tempat darurat)

  

1.    KONSEP KAEDAH  اَلضَّرَرُ يُزَالُ

Pengertian:

Kemudaratan hendaklah dihilangkan.

 

Huraian Pengertian:

Sesuatu yang boleh mendatangkan bahaya mestilah dihilangkan/ dihapuskan.

 

Contoh/Hukum:

1.      Harus pembeli memulangkan barang yang ada aib kepada penjual.

2.      Harus makan bangkai ketika terdesak (kebuluran)

3.      Harus digali semula kubur untuk mengeluarkan jenazah yang tidak dimandikan atau dikebumikan tidak menghadap kiblat.

4.      Harus melihat aurat kerana darurat (sakit)

5.      Harus memandang wanita bagi tujuan peminangan.

 

Dalil:

·     Al-A’raf: 56  

وَلَا تُفۡسِدُواْ فِي ٱلۡأَرۡضِ بَعۡدَ إِصۡلَٰحِهَا

“Dan jangan lah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan kepadanya.”

·     Al-Maidah: 64

وَٱللَّهُ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُفۡسِدِينَ

Dan Allah tidak suka kepada orang-orang yang melakukan kerosakan.”

 

 

 

·     Al-Baqarah: 231

وَلَا تُمۡسِكُوهُنَّ ضِرَارٗا لِّتَعۡتَدُواْۚ

“Dan jangan lah kamu pegang mereka (rujuk semula) dengan maksud memberi kemudaratan, kerana kamu hendak melakukan kezaliman (terhadap mereka).”

 

·      Hadis riwayat Ibnu Abbas RA:

لَا ضَرَرُ وَلَا ضِرَارُ

“Tidak mudarat dan tidak memudaratkan.”

 

DARAR YANG DIKECUALIKAN DARIPADA KAEDAH  الضرر يزال /DARAR YANG DIIZINKAN OLEH SYARAK:

Ulama telah sepakat bahawa kaedah الضرر يزال ini mengecualikan darar yang diizinkan oleh syarak seperti Qisas, Hudud, Takzir dan segala jenis hukuman seksaan yang lain.

 

2.    KAEDAH TERBITAN

1.    اَلضَّرُورَاتُ تُبِيْحُ الْمَحْظُورَاتِ  (Al-Darurat tubih al-mahzurat)

Pengertian:

Darurat mengharuskan tegahan.

[DARURAT: Sesuatu yang tidak mungkin tercapai 5 objektif syariah; agama, nyawa, akal, harta, nasab]

[AL-MAHZURAT: Perkara yang ada nas syarak melarang/ mengharamkannya]

 

Huraian Pengertian:

Setiap sesuatu yang dilarang pada syarak boleh bertukar menjadi harus ketika darurat. Apabila hilang darurat, maka kembali pengharamannya.

 

Dalil:

§  Al-Baqarah: 173

فَمَنِ ٱضۡطُرَّ غَيۡرَ بَاغٖ وَلَا عَادٖ فَلَآ إِثۡمَ عَلَيۡهِۚ

Maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak menginginkannya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu) maka tidak lah ia berdosa.”

§  Al-Nahl: 106

مَن كَفَرَ بِٱللَّهِ مِنۢ بَعۡدِ إِيمَٰنِهِۦٓ إِلَّا مَنۡ أُكۡرِهَ وَقَلۡبُهُۥ مُطۡمَئِنُّۢ بِٱلۡإِيمَٰنِ

“Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah ia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman.”

 

 

Contoh/Hukum:

1.       Harus makan bangkai/ benda haram ketika kebuluran untuk menyelamatkan nyawa.

2.       Harus minum arak ketika sangat dahaga/ ketiadaan air untuk menyelamatkan nyawa.

3.       Harus mengambil harta orang yang berhutang yang enggan membayar hutangnya.

4.       Harus doktor lelaki merawat/ mengurus wanita bersalin dalam keadaan tiada doktor/ jururawat perempuan.

5.       Harus menggali semula mayat yang ditanam kerana belum dimandikan/ untuk membetulkan arah kiblatnya.

6.     Harus melakukan apa sahaja tindakan/ muslihat terhadap musuh untuk mengalahkannya dalam peperangan seperti membakar kubu musuh.

7.     Harus memandang wanita bagi tujuan peminangan.

 

 

2.    مَا أُبِيْحَ لِلضَّرُورَةِ تُقَدَّر بِقَدَرِهَا (Ma ubih li al-darurah yuqaddar bi  qadariha)

 

Pengertian:

Sesuatu yang diharuskan kerana darurat dihadkan menurut kadar darurat itu.

 

Huraian Pengertian:

Setiap sesuatu yang diharuskan kerana darurat, adalah harus sekadar yang boleh menolak kemudaratan dan tidak boleh melebihi dari kadar itu.

 

Dalil:

·     Al-Baqarah: 173

فَمَنِ ٱضۡطُرَّ غَيۡرَ بَاغٖ وَلَا عَادٖ فَلَآ إِثۡمَ عَلَيۡهِۚ

“Maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak menginginkannya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu) maka tidak lah ia berdosa.”

 

Contoh/Hukum:

1.      Orang kebuluran harus makan bangkai/benda haram untuk menyelamatkan nyawa, cukup sekadar untuk dia mendapatkan sedikit tenaga. Haram jika makan sampai kenyang/ menikmatinya.

2.      Harus mengambil rumput milik orang lain sekadar untuk ternakannya yang kelaparan sahaja. Haram jika untuk dijual.

3.      Harus doktor lelaki merawat pesakit perempuan sekadar anggota/ bahagian yang sakit sahaja.  

4.      Tidak harus pesakit perempuan mendapatkan rawatan dengan doktor lelaki jika ada doktor perempuan yang boleh merawatnya.

5.      Tidak harus mengahwinkan orang gila melebihi satu isteri kerana hajatnya sudah tercapai dengan satu isteri sahaja.

6.      Tidak harus orang tengah menceritakan secara terperinci/ berterus terang perihal wanita yang dipinang kepada lelaki yang meminang.

7.    Orang yang luka/ patah hendaklah dibalut sekadar tempat luka/ patah sahaja.

  

3.    اَلضَّرَرُ لَا يُزَالُ بِالضَّرَرِ (Al-Darar la yuzal bi al-darar)

 

Pengertian:

Kemudaratan tidak boleh dihilangkan dengan kemudaratan juga.

 

Huraian Pengertian:

Kemudaratan tidak boleh dihilangkan dengan kemudaratan yang sama dengannya atau yang lebih besar daripadanya, TETAPI kemudaratan boleh dihilangkan dengan kemudaratan yang lebih rendah daripadanya.

 

Contoh/Hukum:

1.       Tidak boleh/ tidak harus seseorang yang kebuluran mengambil makanan orang lain yang juga kebuluran.

2.       Tidak harus doktor mengambil darah seseorang untuk dimasukkan kepada pesakit yang perlukan darah jika ia boleh menyebabkan kematiannya ke atasnya.

3.       Tidak harus seseorang melakukan perbuatan menenggelamkan/ memusnahkan sawah orang lain demi menyelamatkan sawahnya daripada ditenggelami air.

4.       Tidak harus merosakkan diri orang lain untuk menghindarkan dirinya daripada bahaya.

5.       Tidak wajib ke atas orang fakir memberi nafkah kepada keluarganya yang fakir

6.       Tidak harus seseorang yang dipaksa membunuh orang lain untuk menyelamatkan dirinya.

7.       Harus seseorang yang dipaksa minum arak kalu tidak ia akan dibunuh minum arak kerana ancaman bunuh lebih berat daripada minum arak.

 

 

Pengecualian:

·     Apabila bertembung dua kemudaratan, hendaklah diberi perhatian kepada mudarat yang terbesar di antara keduanya dengan memilih kemudaratan yang paling ringan.

 

·     Huraian Pengertian:

Cara melepaskan dari pertembungan dua kemudaratan yang pasti berlaku salah satu daripadanya. Sedangkan salah satu daripadanya itu besar dibandingkan dengan yang satu lagi. Maka hendaklah dipilih/ dihilangkan mudarat yang kecil.

 

·     Contoh:

-          Harus membedah perut wanita yang meninggal dunia bagi mengeluarkan janin apabila ada harapan janin itu masih hidup.

-          Fasakh akad jual beli kerana aib barang jualan.

-          Fasakh nikah kerana kepapaan.

-         Harus tebus talak (khuluk) oleh isteri dalam masa haid kerana menyelamatkan isteri dari penyeksaan suaminya itu lebih utama dari keburukan memanjangkan iddah ke atasnya, kerana ringan mudaratnya.

 

 

4.    دَرْءُ الْمَفَاسِدِ مُقَدَّمُ عَلَى جَلْبِ الْمَصَالِحِ (Dar’ al- mafasid muqaddam ‘ala jalb al-masalih)

 

Pengertian:

Menolak kerosakan lebih utama daripada mengambil kemaslahatan/ kebaikan.

 

Huraian Pengertian:

Apabila bertembung di antara mafsadah (kerosakan) dengan maslahah (kebaikan), maka hendaklah didahulukan menolak/ menghilangkan mafsadah kerana penekanan syarak kepada perkara-perkara yang dilarang melebihi perkara-perkara yang diperintah.

 

Dalil:

o   Hadis riwayat Abu Hurairah RA:

         إذا نهيتكم عن شئ فاجتنبوه , وإذا أمرتكم بأمر فأتوا منه ما استطعتم

“Apabila aku menegah kamu terhadap sesuatu, maka jauhilah ia. Apabila aku perintahkan kepada kamu dengan sesuatu perintah, maka lakukanlah menurut kadar kemampuan kamu.”

 

 

Contoh/Hukum:

1.      Seseorang ditegah menguruskan harta miliknya jika pengurusannya membahayakan/ memudaratkan orang lain.

2.      Menghapuskan iklan rokok untuk mencegah tabiat merokok yang lebih besar bahayanya adalah lebih baik daripada mendapat bayaran iklan.

3.      Makruh orang yang berpuasa berkumur-kumur/ menyedut air ke hidung ketika berwuduk kerana bimbang boleh menyebabkan terbatal puasa.

4.      Harus berbohong demi menyatukan/ mendamaikan pasangan suami isteri/ pihak bergaduh.

5.    Makruh orang yang berihram menyelat bulu/ rambut dengan jari ketika berwuduk kerana bimbang boleh menggugurkan rambut/bulu yang mewajibkan membayar dam.

 

 

5.    اَلْحَاجَةُ تُنَزِّلُ مَنْزِلَةَ الضَّرُورَةِ (Al-Hajah tanzil manzilat al-darurah)

 

Pengertian:

Hajat/ keperluan menepati seperti darurat juga.

 

Huraian Pengertian:

Kemudahan-kemudahan syarak yang dikecualikan tidaklah terbatas dalam keadaan darurat sahaja, bahkan hajat-hajat (umum/ khusus) pun membolehkan kemudahan-kemudahan yang dikecualikan juga.

 

Contoh/Hukum:

1.       Harus seorang lelaki memakai sutera disebabkan penyakit kulit, namun dalam keadaan biasa diharamkan.

2.       Harus melihat kepada bakal isteri untuk tujuan perkahwinan.

3.       Harus upah mengupah demi keperluan umum.

4.       Harus jual salam demi kemaslahatan dan menghilangkan kesulitan.

5.       Harus diterjemahkan al-Quran kepada Bahasa bukan Arab untuk keperluan manusia mengetahui hukum Islam.

 

PERBEZAAN ANTARA AL-DARURAH & AL-HAJAT:

·     AL-DARURAH/ AL-DARURIYYAT:

ü  Sesuatu yang tidak mungkin tercapai 5 objektif syariah; agama, nyawa, akal, harta, nasab.

ü  Keadaan darurah mengharuskan yang haram.

ü  Contoh: seseorang yang kebuluran harus makan bangkai untuk menyelamatkan nyawa.

  

·     Al-HAJAT/ AL-HAJIYYAT:

ü  Keadaan tidak sampai tahap memudaratkan/ membinasakan, namun jika tidak melakukannya menyebabkan kesusahan.

ü  Keadaan al-hajat tidak mengharuskan yang haram.

ü  Contoh: harus berbuka puasa Ramadan bagi orang sakit/ musafir.

 

 

 

CONTOH-CONTOH SOALAN


Soalan 2013 (Ulangan)

(a)

Terangkan kaedah الضرر يزال dari segi pengertian dan dalil. [4]

(b)

Dengan memberikan contoh, jelaskan darar yang dimaksudkan mengikut kaedah الضرر يزال  dan darar yang dikecualikan dalam kaedah tersebut.  [8]

(c)

Huraikan kaedah  الضرورات تبيح المحظورات  dan berikan contoh pengaplikasiannya dalam masalah akidah dan muamalah. [8]

 

Soalan 2014 (Ulangan)

(a)

Terangkan maksud kaedah  al-Darurat tubih al-mahzurat berserta contoh. [6]

(b)

Jelaskan tiga kaedah terbitan  al-Darar Yuzal selain daripada kaedah (a) di atas. [6]

(c)

Berdasarkan kaedah al-Darar Yuzal , berikan hokum dan kaedah terbitan bagi persoalan yang berikut:

         i.     Ketika melakukan ibadat wukuf di Arafat, A beberapa kali menyikat rambutnya. [2]

       ii.     Seorang lelaki yang memandang muka wanita bagi tujuan peminangan. [2]

      iii.     Dalam keadaan tersangat lapar, B memakan daging lembu yang disembelih oleh orang kafir demi menyelamatkan dirinya daripada mati kebuluran. [2]

      iv.     Seorang pesakit wanita datang untuk mendapatkan rawatan penyakit kulitnya dengan doktor lelaki pakar kulit. [2]


Soalan 2015 (Ulangan)

(a)

Berikan dalil bagi kaedah  الضرر يزال   berserta contoh. [4]

(b)

Dengan memberikan contoh, jelaskan kaedahالضرورات تبيح المحظورات dan pengaplikasiannya dalam masalah perubatan dan pemakanan. [8]

(c)

Bincangkan kaedah  الحاجة تنزل منزلة الضرورة berdasarkan perbezaan antara al-hajah dengan al-darurah. [8]     

 

Soalan 2016

(a)

Terangkan darar yang diizinkan oleh syarak berdasarkan kaedah  الضرر يزال. [4]

(b)

Dengan memberikan contoh, jelaskan kaedah  ما أبيح للضرورة يقدر بقدرها . [6]

(c)

Dengan memberikan dua contoh, bincangkan kaedahالضرر لا يزال بالضرر dan hokum pengecualian sekiranya berlaku dua kemudaratan dalam satu masa. [10]


Soalan 2018

(a)

Terangkan maksud kaedah الضرورات تبيح المحظورات berserta dalil. [4]

(b)

Dengan memberikan dua contoh, huraikan kaedahالضرر لا يزال بالضرر. [8]

(c)

Akad ijarah dibenarkan dalam Islam. Walau bagaimanapun, akad tersebut bersalahan dengan hukum asal yang mewajibkan barang yang diakadkan itu wujud. Dengan menggunakan kaedah terbitan daripada kaedah  الضرر يزال, bincangkan pensyariatan bagi akad tersebut. [8]

 

Soalan 2018 (Ulangan)

(a)

Terangkan maksud kaedah الضرورات تبيح المحظورات. [4]

(b)

Berdasarkan kaedah  ما أبيح للضرورة يقدر بقدرها, kemukakan dua contoh dan dua hikmah di sebalik penetapan kaedah tersebut. [8]

(c)

“Individu tidak dibenarkan ke masjid sekiranya terdapat bahaya dalam perjalanan.”

Bincangkan pernyataan di atas dengan mengemukakan kaedah fiqh yangs sesuai. [8]

 

Soalan 2019

(a)

Terangkan kaedah   الضرر لا يزال بالضرر berserta  dua contoh. [6]

(b)

Dengan memberikan contoh, jelaskan ayat yang berikut dan kaitkan dengan kaedah fiqh yang bersesuaian.

          [6]فَمَنِ اضطُرَّ غَيرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَلآ إِثمَ عَلَيهِ

(c)

Huraikan permasalahan yang berikut dan kaedah terbitan yang berkaitan:

(i)       Pihak berkuasa mengenakan cukai ke atas premis pelacuran kerana mendatangkan pendapatan yang lumayan. [4]

(ii)     Doktor lelaki diharuskan untuk merawat wanita ajnabi pada anggota atau bahagian yang sakit sahaja. [4]

 


Soalan 2019 (Ulangan)

(a)

Terangkan maksud kaedah  ما أبيح للضرورة يقدر بقدرها, berserta dengan contoh. [4]

(b)

Huraikan kaeda  الضرر لا يزال بالضرر berserta dengan tiga contoh. [8]

 

(c)

Mengapakah isu-isu di bawah mempunyai kaitan dengan kaedah terbitan درء المفاسد مقدم على جلب المصالح ? .

         i.     Hukum arak tetap haram walaupun perniagaannya menguntungkan. [2]

       ii.     Berdua-duaan antara pelajar lelaki dan pelajar perempuan yang bukan mahram di tempat yang tertutup untuk berbincang mengenai pelajaran tidak dibenarkan. [2]

      iii.     Keputusan hakim di mahkamah yang menegah seorang yang hilang akal daripada membelanjakan wang miliknya sendiri adalah tepat. [2]

      iv.     Seorang wanita boleh menangguhkan dahulu mandi wajib jika tiada tempat yang terselindung daripada pandangan lelaki ajnabi. [2]

 

Soalan 2020 (Ulangan)

(a)

“Kemudaratan hendaklah dihilangkan.” Terangkan penyataan ini berserta dengan dua dalil. [4]

(b)

Jelaskan kaedah terbitan yang berikut berserta dengan contoh:

(i)                 الضرر لا يزال بالضرر [2]

(ii)              الضرورات تبيح المحظورات [2]

(iii)              ما أبيح للضرورة يقدر بقدرها [2]

(c)

Huraikan permasalahan yang berikut berdasarkan kaedah terbitan   الضرر لا يزال:

       (i)     Menghapuskan iklan rokok bagi mencegah tabiat rokok bagi mencegah tabiat merokok yang lebih besar bahayanya. [4]

     (ii)     Seseorang lelaki diharuskan memakai pakaian sutrera disebabkan ada penyakit kulit atau sebab-sebab lain, namun dalam keadaan biasa diharamkan. [4]

 

Soalan 2021

(a)

Jelaskan dua dalil naqli bagi kaedah  الضرر يزال. [4]

(b)

Dengan memberikan contoh, huraikan kaedah terbitan yang berikut:

(i)                 الضرورات تبيح المحظورات [4]

(ii)                ما أبيح للضرورة يقدر بقدرها [4]

(c)

Berdasarkan kaedah terbitan bagi kaedah   الضرر يزال, bincangkan hukum  bagi situasi yang berikut:

“Seorang wanita perlu mandi wajib tetapi tiada tempat yang terlindung daripada lelaki” [8]

 

Soalan 2022 (Ulangan)

(a)

Terangkan ayat yang berikut dan kaitannya dengan kaedah fiqh yang bersesuaian:

فَمَنِ اضطُرَّ غَيرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَلآ إِثمَ عَلَيهِ       [4]

(b)

Huraikan kaedah terbitan   الضرر لا يزال بالضرر berserta dengan  tiga contoh. [8]

 

(c)

Huraikan perkaitan kaedah terbitan yang bersesuaian bagi permasalahan yang berikut: 

(i)       Tayamum dibolehkan untuk menunaikan solat ketika ketiadaan air sahaja.

(ii)     Keperluan kontak rapat untuk menjalani kuarantin di rumah lebih baik daripada keluar untuk membeli makanan bagi menyekat penularan wabak COVID-19.  [4]

 

Soalan 2023

(a)

Terangkan maksud kaedah   الضرر يزال  berserta dengan dalil. [4]

(b)

Huraikan kaedah terbitan   الضرر لا يزال بالضرر berserta dengan dua contoh. [6]


(c)

Para ulama mengatakan ijarah adalah dibenarkan, tetapi ia bersalahan dengan qiyas atau hukum asal.

Dengan menggunakan  kaedah terbitan daripada kaedah   الضرر لا يزال, bincangkan pensyariatan akad tersebut. [10]


Soalan 2023 (Ulangan)

(a)

Terangkan pengertian kaedah   الضرر يزال  berserta dengan dalil. [4]

(b)

Jelaskan dalil yang menjadi sandaran kepada kaedah  الضرر يزال  dan nyatakan dua hukuman yang dikecualikan kemudaratannya oleh syarak. [6]


(c)

Dengan memberikan contoh dan dalil, huraikan kaedah terbitan berikut: 

(i)                                                      الضرر لا يزال بالضرر

(ii)                دَرْءُ الْمَفَاسِدِ مُقَدَّمُ عَلَى جَلْبِ الْمَصَالِحِ        [10]

 

 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan