Pengikut

Isnin, 20 Mei 2024

Maslahah

 

Objektif Pembelajaran:

a.           Menjelaskan pengertian Maslahah.

b.            Mengkategorikan Maslahah berasaskan pengiktirafan syarak, iaitu maslahah mu’tabarah, maslahah mulghah, dan maslahah mursalah.

c.       Membahaskan perbezaan pandangan ulama terhadap kehujahan Maslahah mursalah.

 

Pengertian Maslahah:

Iaitu suatu sifat atau keadaan bila ditetapkan ke atasnya hukum, ia mendatangkan manfaat atau menolak kemudaratan dan tidak ada dalil syarak yang memperakui atau menolaknya.

 

KATEGORI/BAHAGIAN MASLAHAH

BAHAGIAN 1: DARI SUDUT DIAMBIL KIRA OLEH SYARAK @ TIDAK DIAMBIL KIRA OLEH SYARAK

MASLAHAH

MU’TABARAH

 

 

 

o   Pengertian:

Iaitu maslahah yang diambil kira oleh syarak dan syarak telah menetapkan hukum-hukum untuk mencapai maslahah tersebut.

o   Contoh:

Hukum yang ditetapkan oleh syarak untuk mencapai maqasid as-syariah (maslahah) iaitu:

·         Disyariatkan membunuh orang murtad untuk memelihara agama.

·         Disyariatkan qisas untuk memelihara nyawa.

·         Diharamkan arak untuk memelihara akal.

·         Disyariatkan potong tangan ke atas pencuri untuk memelihara harta.

·         Diharamkan zina untuk memelihara nasab.

     o      Harus dijadikan ‘illah hukum (jumhur).

MASLAHAH MULGHAH

o   Pengertian:

Iaitu maslahah yang tidak diambil kira oleh syarak dan syarak juga tidak menganggapnya sebagai maslahah kerana ia boleh mehilangkan maslahah lain yang lebih besar daripadanya.

o   Contoh:

-          Diwajibkan ke atas orang kaya puasa 2 bulan berturut-turut sebagai kafarah kerana bersetubuh di siang hari pada bulan Ramadan.[1]

-          Menyerah diri kepada musuh[2]

 

o   Tidak harus dijadikan ‘illah hukum.

 

 

 

 



MASLAHAH MURSALAH

o   Pengertian:

Iaitu maslahah yang tidak ada dalil daripada syarak sama ada mengiktibarkannya atau tidak mengiktibarkannya. Ia dikatakan “maslahah” kerana mendatangkan kebaikan dan menolak kemudaratan. Dan ia dikatakan “mursalah” kerana tidak ada dalil khusus daripada syarak mengiktibarkannya.[3]

 

o   Contoh:

Harus bagi pemerintah yang adil mewajibkan orang kaya mengeluarkan wang untuk menambahkan anggota tentera dan alat kelengkapan perang untuk mempertahankan Negara jika wang perbendaharaan tidak mencukupi untuk membiayainya.[4]

 

 

BAHAGIAN 2: DARI SUDUT KEKUATAN PADA DIRINYA

MASLAHAH DARURIYYAT

o   Pengertian:

Iaitu maslahah yang terhenti ke atanya kehidupan manusia sama ada berbentuk agama atau keduniaan. Sekiranyanya ia tidak ada maka pincanglah kehidupan manusia di dunia dan di akhirat.

 

o   Ia mempunyai 5 maslahah iaitu:

-  Memelihara agama

-  Memelihara nyawa

-  Memelihara akal

-  Memelihara nasab

-  Memelihara harta

MASLAHAH HAJIYYAT

o   Pengertian:

Iaitu maslahah yang diperlukan oleh manusia untuk mengelakkan diri daripada mengalami kesempitan hidup. Sekiranya ia tidak ada maka manusia akan hidup dalam kesempitan.

 

o   Contoh:

-          Muamalat seperti jaul beli, sewa upah dll.

-          Kemudahan dalam beribadat seperti qasar solat, jamak solat.


 

MASLAHAH TAHSINIYYAT

o   Pengertian:

Iaitu maslahah yang dikehendaki dengannya berpegang dengan adat yang baik dan bersifat dengan tatasusila yang mulia. Sekiranya ia tidak ada ia tidak akan membawa kepada kepincangan dan kesempitan hidup.

 

o   Contoh:

-          Menutup aurat

-          Bersuci

-          Tidak membunuh wanita, kanak-kanak dan orang yang lemah di dalam peperangan

-          Mengerjakan ibadat sunat

 

 












KEHUJAHAN MASLAHAH MURSALAH

o   Para ulama telah bersepakat mengatakan bahawa maslahah mursalah tidak boleh dijadikan hujah dalam perkara ibadat kerana perkara ibadat tidak ada ruang untuk berijtihad kerana ia terbatas kepada wahyu sahaja.

 

o   Para ulama berselisih pendapat tentang kehujahan maslahah mursalah dalam perkara muamalat:

 

 

 ULAMA JUMHUR

ULAMA ZAHIRIYYAH, AL-AMIDI & IBN AL-HAJB

 

·         Maslahah mursalah dianggap sebagai hujah.

·         Alasan menerima maslahah mursalah sebagai hujah:

-          Dalil al-Quran[5]

 

وَمَا جَعَلَ عَلَيۡكُمۡ فِي ٱلدِّينِ مِنۡ حَرَجٖۚ

Dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama”

 

           -   Hadis Muaz bin Jabal[6]

 

·         Maslahah mursalah tidak dianggap sebagai hujah.

·         Alasan menolakmaslahah mursalah sebagai hujah ialah:

-          Syarak telah membatalkan sebahagian dari maslahah dan mengambil kira sebahagian darinya. Dalam keadaan ini, maka tidak boleh diputuskan bahawa maslahah mursalah diambil kira oleh syarak dan dibinakan hukum ke atasnya.

 

 

 

-          Maslahah manusia sentiasa berubah dan tiada sudahnya. Jika pembinaan hukum dihadkan kepada masalah-masalah tertentu yang ada dalil, sudah tentu banyak kemaslahatan manusia dan hukum syarak tidak dapat dilaksanakan.

 

-          Para sahabat ada mengeluarkan hukum atas dasar maslahah mursalah.

Contoh: Abu Bakar melantik Umar sebagai penggantinya sedangkan Rasulullah tidak berbuat begitu.

 

-          Beramal dengan maslahah mursalah membawa kepada berlainan hukum dengan sebab berlainan zaman. Ini menafikan umum syariat Islam yang bersesuaian dengan setiap zaman dan tempat.

 

 

-          Bahawa mengambil kira maslahah mursalah dalam mensyariatkan hukum bererti memberi jalan kepada orang yang mengikut hawa nafsu dan mereka yang tidak sampai ke peringkat keahlian berijtihad untuk campur tangan dalam mengeluarkan hukum syarak.

 

SYARAT BERHUJAH/ BERAMAL DENGAN MASLAHAH MURSALAH

 

Menurut Imam Ghazali

1.       Hendaklah maslahah itu sudah sampai ke peringkat maslahah daruriyyat iaitu: memelihara agama, jiwa, nasab, akal dan harta.

 

2.       Hendaklah maslahah itu qat’iyyah iaitu diyakini ada dan berhasilnya.

 

3.       Hendaklah maslahah itu bersifat umum/ menyeluruh iaitu merangkumi faedah kepada orang-orang Islam.

Contoh:

Apabila orang kafir menawan orang Islam dan menjadikan orang Islam sebagai benteng pertahanan, dan kita yakin bahawa orang kafir dapat menguasai dan membunuh seluruh orang Islam jika kita mengelak untuk membunuh tawanan tersebut. Jika kita membunuh orang tawanan tersebut bererti kita telah membunuh orang Islam tanpa hak. Maka membunuh orang Islam dalam keadaan ini dikira sebagai maslahah mursalah kerana memelihara orang-orang Islam terlebih hampir kepada matlamat syarak daripada memelihara seorang Islam.

 

 

 Menurut Imam Maliki/Hanbali

1.       Maslahah itu selaras dengan matlamat syarak dan nas.

Contoh:

Tidak harus mengambil hak talak dari tangan suami dan memberikan hak itu kepada qadi kerana ia bertentangan dengan nas.

 

2.       Maslahah itu dapat difahami dan berlaku di atas sifat—sifat yang munasabah yang diterima oleh orang yang berakal.

Contoh:

Harus menghadkan harga barang keperluan ketika diperlukan untuk mengelakkan penipuan bagi menolak kesukaran kepada orang ramai.

 

3.       Maslahah itu melibatkan orang ramai kerana hukum syarak dibuat untuk dikenakan ke atas orang ramai keseluruhannya.

Contoh:

Tidak harus membunuh seorang muslim yang dijadikan bentang pertahanan oleh orang kafir jika orang Islam dapat mengepung dan tidak takut kepada orang kafir yang menguasai Negara orang Islam.


CONTOH-CONTOH SOALAN

Soalan STPM 2013 (Ulangan)

(a)

Berikan pengertian maslahah, masalih mursalah, dan masalih mulghah. [6]

(b)

Dengan memberikan alasan, jelaskan kategori maslahah dalam perkara yang berikut:


(i)

Hukuman sebat kepada peminum arak


(ii)

Insentif cukai ke atas sector perjudian


(iii)

Keizinan mahkamah untuk poligami


(iv)

Memberi hak sama rata antara lelaki dengan perempuan dalam pembahagian harta pusaka       [8]

(c)

Bincangkan kehujahan maslahah mursalah mengikut pandangan ulama. [6]

 

Soalan STPM 2015

(a)

Dengan memberikan contoh, terangkan pengertian maslahah dan maslahah mursalah. [4]

(b)

Jelaskan tiga bahagian maslahah berserta contoh. [6]

(c)

Bincangkan pandangan fuqaha terhadap kehujahan maslahah mursalah sebagai sumber hukum. [10]


Soalan STPM 2017

(a)

Berikan pengertian masalih mursalah. [2]

(b)

Jelaskan tiga syarat kehujahanmaslahah. [9]

(c)

Bincangkan bahagian maslahah dari sudut kekuatan pada kehidupan manusia. [9]

 

Soalan STPM 2017

(a)

Terangkan pengertian maslahah mursalah berserta dengan contoh. [6]

(b)

Jelaskan maslahah daruriyyat, maslahah hajiyyat, dan maslahah tahsiniyyat dari sudut sumber. [6]

(c)

Bincangkan empat syarat kedudukan maslahah mursalah dalam menentukan hukum syarak. [10]

 

 

 

 



[1] Hukuman ini walaupun lebih sesuai kepada orang kaya supaya dapat mencegah daripada berlakunya kesalahan tersebut, namun syarak membatalkannya dan memperwajibkan ke atas orang kaya pada peringkat permulaan kafarah (i. Merdekakan hamba; jika tidak mampu, ii. Beri makan 60 fakir miskin; jika tidak mampu, iii. Puasa 2 bulan berturut-turut)

[2] Walaupun menyerah diri kepada musuh adalah maslahah iaitu dapat memelihara diri daripada dibunuh, tetapi syarak membatalkannya kerana ia boleh memhilangkan maslahah yang lebih besar daripadanya iaitu memelihara keadaan negara Islam daripada penjajahan musuh Islam.

[3] Maslahah mursalah berlaku pada masalah yang mana syarak tidak menjelaskan hukum dan tidak ada asal yang boleh diqiyaskan masalah itu ke atasnya, tetapi didapati pada masalah itu keadaan yang sesuai dijadikan sebagai asas hukum syarak dan membolehkan datang kebaikan atau menolak kemudaratan.

[4]Ini adalah maslahah mursalah kerana tidak ada dalil khusus yang mengarahkan atau melarang perbuatan itu, bahkan ia merupakan usaha yang mendatangkan manfaat kepada msyarakat untuk mempertahankan dii daripada ancaman musuh.

 

[5] Al-Hajj: 78

[6]Hadis perutusan Muaz bin Jabal ke Yaman. Hadis tersebut menjelaskan bahawa Rasulullah saw telah bersetuju dan merestui Muaz untuk melakukan ijtihad apabila dia tidak menemui dalil di dalam al-Quran atau al-Sunnah. Masalih mursalah adalah sebahagian dari ijtihad. Oleh sebab itu ia adalah hujah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan