Pengikut

Rabu, 29 Mei 2024

Usul Fiqh: Sadd al-Dhari'ah

 

Objektif Pembelajaran:

a.                Menjelaskan maksud al-dhari’ah.

b.                Membezakan antara al-dhari’ah dan muqaddimah serta mengemukakan contoh masing-masing.

c.                 Membezakan perbuatan mukallaf yang disyariatkan hukum terhadapnya dari sudut maqasid (tujuan) dan wasa’il (jalan).

d.                Mengenal pasti bahagian al-Dhari’ah dari sudut kesan buruk sesuatu perkara atau perbuatan.

e.                Membincangkan pandangan ulama tentang kehujahan sadd al-dhari’ah.

f.        Membincangkan pengaplikasian Sadd Dhari’ah terhadap persoalan semasa iaitu:

                                         (i).      Tuntutan supaya balu berkabung sema ‘iddah.

                                       (ii).       Larangan menzahirkan sembahyang Zohor berjemaah bagi orang-orang yang mengalami keuzuran untuk mengerjakan sembahyang jumaat.

                                      (iii).       Larangan pembelian buah yang sedang berputik di atas pokok.

                                      (iv).       Larangan berbuka puasa kerana uzur di khalayak ramai.

                                                                            (v).              Larangan menjatuhkan hukuman berasaskan pengetahuan hakim.

 

Pengertian Sadd al-Dhari’ah:

Pengertian :

Dari segi bahasa:

Sadd ®  Sesuatu yang boleh menyekat, menghalang, menutup, membendung dan suatu empangan.

Al-dhara’i® sebab, jalan atatu cara yang membawa kepada maslahat yang dibenarkan syarak dan juga yang membawa kepada mafsadah serta perkara yang menjadi larangan oleh syarak.

 

Sadd al-dhari’ah®mencegah sesuatu perkara yang boleh membawa kerosakan dan bahaya.

Contoh: Melihat aurat wanita ajnabi®laluan kepada zina.

 

Dari segi istilah:

Sadd

Ø  Menutup sesuatu yang cacat atau rosak

Ø  Mencegah atau menyekat jalan

Dhari’ah

Ø  Jalan atau wasilah dan sebab jadinya sesuatu

Ø  Perantara dan jalan kepada sesuatu

 

Kesimpulan (istilah):

Mencegah sebarang yang boleh membawa kepada kerosakan dan bahaya.

Contoh: Melihat aurat wanita ajnabi.

Ø  Menghalang perkara harus yang boleh membawa kepada perkara haram.

Ø  Mengeluarkan hukum syarak mengikut kaedah “menutup saluran kerosakan”.

 

 

PERBEZAAN AL-DHARI’AH DENGAN MUQADDIMAH

BIL

AL-DHAR’IAH

MUQADDIMAH

1.        

Iaitu jalan atau perantara yang asalnya merupakan tindakan yang diharuskan tetapi kesannya membawa kepada mafsadah.

Iaitu sesuatu keadaan yang dengannya bermula sesuatu perkara atau sebahagian daripada perkara yang asalnya sudah ditegah.

2.        

Contoh:

Menggali perigi di tepi jalan laluan awam.

Contoh:

Berdua-duaan lelaki dan perempuan adalah sebagai muqaddimah zina.

        
         PERBEZAAN MAQASID DAN WASA’IL

BIL

MAQASID

WASA’IL

1.

Iaitu matlamat yang ingin dicapai dalam melakukan sesuatu. (Maksud: tujuan atau matlamat yang diletakkan oleh syarak dalam mensyariatkan hukum).

Iaitu penghubung kepada pencapaian sesuatu matlamat sama ada mencapai maslahat atau mafsadah.

2.

Contoh:

Puasa dan hari raya puasa.

Contoh:

Melihat anak bulan.

 


PEMBAHAGIAN AL-DHARI’AH DARI SEGI KESAN BURUK SESUATU PERKARA

® menurut Imam Shatibi

 

1.     Perbuatan yang pasti mendatangkan kerosakan:

Iaitu perbuatan yang secara pasti membawa atau mendatang kerosakan yang merangkumi perkara pasti membawa ke arah maksiat. Antara lain perbuatan yang dilakukan itu boleh membawa ke arah kerosakan yang sememangnya ditegah sudut zatnya.

Contoh:

Menggali perigi di hadapan pintu rumah pada waktu malam yang gelap yang akan mengakibatkan orang yang masuk ke dalam rumah tersebut pasti akan terjatuh ke dalam perigi tersebut. Perbuatan ini dan seumpamanya adalah dilarang dan dikenakan ganti rugi/hukuman ke atasnya sekiranya berlaku kerosakan/kecederaan sama ada kerana kecuaiannya atau memang ada tujuan untuk mengenakan kemudaratan itu.

 

Maka para ulama bersepakat mengatakan bahawa perbuatan itu ditegah. Ini kerana kerosakan yang akan berlaku akibat daripada perbuatan tersebut adalah suatu yang pasti.

 

2.      Perbuatan yang mendatangkan sedikit kerosakan:

Iaitu perbuatan yang pada asalnya harus tetapi mendatangkan mafsadah yang lebih kecil atau kebiasaannya tidak membawa ke arah kemaksiatan.

 

Contoh:

Menggali perigi di tempat yang jarang dilalui biasanya tidak akan menyebabkan orang terjatuh ke dalamnya. Perbuatan seperti ini kekal berada dalam perbuatan yang diharuskan berdasarkan hukum asal berupa keizinan am daripada syarak. Manfaat yang diperolehi daripada perbuatan itu lebih besar daripada kemudaratan yang mungkin terjadi sebagai akibat sampingannya dan kemudaratan yang kecil tidak dikira di sisi syarak. Berkaitan dengan hal ini, para ulama sepakat bahawa ia tidak tergolong dalam kategori al-dhari’ah  merosakkan. Justeru ia diharuskan kerana masih berada dalam batasan yang diizinkan oleh syarak.

 

Para ulama bersepakat bahawa ia tidak tergolong dalam kategori al-dhari’ah merosakkan. Justeru ia diharuskan kerana masih berada dalam batasan yang diizinkan oleh syarak.

 

3.     Perbuatan yang kebiasaannya akan membawa kepada mafsadah:

Iaitu perbuatan yang dilakukan kebiasaannya mendatangkan kerosakan dan mafsadah namun dari sudut zatnya ia adalah diharuskan. Dalam erti kata yang lain, perbuatan tersebut diharuskan pada asalnya, tetapi ia boleh mendatangkan kerosakan sama ada ia digunakan untuk mencapai perkara yang haram, sama ada secara sengaja atau tidak sengaja.

Contoh:

Seorang lelaki mengahwini perempuan tetapi bertujuan untuk membolehkan perempuan tersebut berkahwin semula dengan suaminya yang pertama. (dalam kes isteri yang ditak tiga)

 

Para ulama bersepakat bahawa perbuatan tersebut ditegah dan tergolong dalam al-dhari’ah yang merosakkan.

 

4.     Perbuatan yang sering kali membawa kepada mafsadah:

Iaitu perbuatan yang sering kali membawa kerosakan atau mafsadah, namun begitu ia tidak mencapai kedudukan yang majoriti atau banyak. Dalam erti kata lain, sekiranya perbuatan tersebut diteruskan, kemungkinan akan berlakunya kerosakan yang lebih besar.

Contoh:

Bay’ al-‘inah (jual beli secara bertangguh) iaitu membeli suatu barang dengan harga bertangguh dan menjual balik barang tersebut kepada penjualnya dengan harga yang berlainan. Ia membawa kepada riba walaupun bukan suatu yang ghalib (kebiasaan).

 

Para ulama berselisih pendapat mengenai bahagian ini:

1.  Imam Abu Hanifah dan al-Shafie (r.a) mengharuskan jual beli tersebut kerana kerosakan yang timbul itu tidak semestinya berlaku dan tidak mempunyai persangkaan yang kuat akan berlakunya mafsadah. Ia hanyalah sekadar andaian kemungkinan berlakunya mafsadah dan kemungkinan tidak. Maka hukum asal

iaitu harus (jual beli secara tangguh) tidak kepada haram kecuali jika terdapat kemudaratan.

 

2.   Imam Malik dan Ahmad (r.a) menetapkan bahawa perbuatan itu haram (jual beli secara tangguh) dan akadnya batal sebagai langkah berhati-hati daripada berlakunya riba. Dalam rangka ihtiyat (berhati-hati), riba sering berlaku dalam jual beli walaupun tidak bertujuan sedemikian. Oleh itu, wajib ihtiyat dengan mendahulukan meneliti mafsadah, kerana dalam konteks ihtiyat, apabila banyak berlaku mafsadah biasanya ia sampai ke peringkat sangkaan (zann) yang kuat.  Maka dalam hal ini perlulah diutamakan kemudaratan, kerana menolak kemudaratan itu perlu didahulukan untuk menjamin kemaslahatan.

 

Berdasarkan kepada pendapat di atas, dapat dilihat adanya perselisihan pendapat tentang hal ini. Perselisihan ini berdasarkan kepada pendapat ulama berkaitan kehujahan saddal-dhari’ah sebagai asas dalam mengeluarkan hukum syarak.


 

PERBEZAAN PANDANGAN ULAMA TENTANG KEHUJAHAN SADD AL-DHARI’AH

 

Para ulama berbeza pendapat mengenai penerimaan saddal-dhari’ah sebagai sumber hukum.

 

Ulama yang MENERIMA sadd al-dhari’ah:

Mazhab maliki dan Hanbali

Dalil dan hujah mereka:

1.      Al-Quran

Berdasarkan Surah Al-Baqarah:104

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَقُولُواْ رَٰعِنَا وَقُولُواْ ٱنظُرۡنَا وَٱسۡمَعُواْۗ وَلِلۡكَٰفِرِينَ عَذَابٌ أَلِيمٞ 

104. Wahai orang-orang Yang beriman! janganlah kamu mengatakan: "raaina", (ketika kamu berkata-kata Dengan Nabi Muhammad), sebaliknya katakanlah: "unzurna", dan dengarlah kamu (segala perintah Dengan sebulat hati menerimanya); dan (ingatlah, bahawa) orang-orang kafir itu akan beroleh azab seksa Yang tidak terperi sakitnya.

 

Berdasarkan kepada ayat di atas, Allah melarang dan menegah orang-orang yang beriman menggunakan perkataan ( رَٰعِنَا ) walaupun dengan tujuan dan niat yang baik. Hal ini supaya dapat menyekat serta tidak membuka ruang untuk orang-orang Yahudi mencela Nabi Muhammad SAW. Tegahan penggunaan perkataan tersebut adalah atas dasar sad dal-dhar’i

 

 

2.     Hadis/al-sunnah

Hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Hassan bin Abi Sinan:

لا تيحدث الناس أن محمد يقتل أصحابه

Jangan biarkan orang bercakap bahawa Muhammad membunuh para sahabatnya (Riwayat Bukhari)

Berdasarkan kepada hadis di atas, Nabi melarang para sahabat membunuh orang munafik walaupun mereka secara terang-terangan menyebarkan fitnah dalam kalangan orang Islam apabila berlaku sesuatu bencana.

 

3.      Al-Ijmak

Banyak permasalahan yang timbul pada zaman para sahabat telah diselesaikan dengan kesepakatan mereka berdasarkan kepada sad dal-dhara’i. Sebagai contoh peristiwa pengumpulan al-Quran dalam satu mushaf.

Pada zaman Sayidina Uthman, ayat-ayat al-Quran yang ditulis pada tulang-tulang, batu-batu, kulit-kulit binatang dan pelepah-pelepah tamar telah dikumpulkan dan disalin semula menjadi satu mushaf al-Quran. Selepas ayat al-Quran itu disalin semula dalam satu mushaf, ayat-ayat al-Quran pada tulang-tulang, batu-batu, kulit-kulit binatang dan pelepah-pelepah tamar telah dibakar. Ini bertujuan agar tidak berlaku perselisihan bacaan antara masyarakat Islam ketika itu. Oleh itu, saddal-dhara’i merupakan langkah untuk menghalang daripada berlaku perselisihan bacaan.

 

4.      Akal

Jika Allah mengharamkan sesuatu perkara, maka jalan serta penyebabnya turut dilarang dan diharamkan sebagai langkah berhati-hati agar ia tidak dilakukan. Sekiranya jalan ke arah perkara haram diharuskan, ini menimbulkan percanggahan dengan pengharaman tersebut dan seolah-olah pada masa yang sama membuka ruang kepada seseorang untuk melakukannya.

Contoh:

Jika doktor ingin menyekat sesuatu penyakit daripada terus merebak, mereka akan melarang pesakit daripada melakukan perkara yang dianggap sebagai punca yang boleh menyebabkan penyakit tersebut berlaku. Sekiranya tidak, ia akan merosakkan segala jenis rawatan yang diberikan. Oleh itu, setiap perkara yang diharuskan oleh Allah maka jalan untuk melaksanakannya juga diharuskan.


Ulama yang MENOLAK sadd al-dhari’ah:

 

Ulama yang menolak secara mutlak ®Ibn Hazm

Dalil dan hujah:

1.      Al-Quran

Firman Allah SWT dalam Surah Yunus:59

قُلۡ أَرَءَيۡتُم مَّآ أَنزَلَ ٱللَّهُ لَكُم مِّن رِّزۡقٖ فَجَعَلۡتُم مِّنۡهُ حَرَامٗا وَحَلَٰلٗا قُلۡ ءَآللَّهُ أَذِنَ لَكُمۡۖ أَمۡ عَلَى ٱللَّهِ تَفۡتَرُونَ 

59. Katakanlah (kepada kaum Yang mengada-adakan sesuatu hukum): "Sudahkah kamu nampak baik-buruknya sesuatu Yang diturunkan Allah untuk manfaat kamu itu sehingga dapat kamu jadikan sebahagian daripadanya haram, dan sebahagian lagi halal?" Katakanlah lagi (kepada mereka): "Adakah Allah izinkan bagi kamu berbuat demikian, atau kamu hanya mengada-adakan secara dusta terhadap Allah?".

 

Berpandukan ayat di atas, Ibn Hazm menyatakan bahawa penentuan halal dan haram terhadap sesuatu perkara adalah milik Allah SWT. Seseorang dianggap melakukan kemungkaran terhadap Allah SWT sekiranya mengambil peranan tersebut. Ini kerana Allah SWT telah mengharuskan untuk kita mengecapi segala apa yang terdapat di bumi, kecuali ada nas yang mengharamkannya.

 

Justeru itu, sesuatu pandangan mestilah berdasarkan kepada keyakinan dan bukannya andaian semata-mata. Oleh itu, tidak boleh mengandaikan sesuatu perkara itu menjadi harus atau haram. Dengan ini jelaslah, saddal-dhara’i yang berdasarkan kepada andaian sesuatu yang harus akan bertukar menjadi mafsadah ditolak.

 

2.     Hadis/Al-Sunnah

Antara hadis sahih yang menolak sad dal-dhara’i ialah seperti berikut:

أنه شكي إليه الرجل يخيل إليه أنه يجد الشيء في الصلاة أو في المسجد. فقال: لا ينصرف حتى يسمع صوتا أو يجد ريحا.

Seorang lelaki mengadu kepada Rasulullah bahawa dia berasa sesuatu (hadas) sewaktu di dalam solat. Kata Rasulullah, jangan tinggal (keluar) solatnya sehingga dia mendengar bunyi atau menghidu bau. (Sahih Ibn Khuzaimah)

 

Hadis ini menerangkan bahawa Nabi Muhammad memerintahkan sesiapa yang berasa ragu-ragu sama ada berhadas atau tidak semasa menunaikan solat supaya menjauhkan perasaan tersebut. Individu tersebut hendaklah meneruskan solat sehingga ia benar-benar pasti mendengar bunyi atau terhidu bau. Dengan ini terbukti

bahawa menghasilkan hukum atas dasar sesuatu yang diragui adalah tidak boleh. Oleh itu, sadd al-dhara’i yang bukan pasti berlaku dan hanya sekadar andaian adalah ditolak.

 

3.      Akal

Beramal dengan saddal-dhara’i sama seperti beramal dengan perkara zann (perkara yang diragui) kerana ia tidak mempunyai asas dalil yang khusus daripada al-Quran, al-Sunnah dan al-Qiyas.

Terdapat perselisihan pendapat antara para ulama berkaitan sumber ini kerana ia sekadar dalil zanni. Oleh itu, segala amalan berdasarkan kepada zann yang tidak mempunyai dalil, di samping ia masih dipertikaikan, maka amalan tersebut adalah amalan yang batil. Hakikatnya, pengistinbatan hukum berdalilkan sad dal-dhara’i yang bersifat zann, serta beramal dengannya adalah salah. Ibn Hazm (r.a) menyatakan dengan maksud:

“Sesiapa yang menghukum atas alasan “berjaga-jaga” dengan tidak menyakini perkara tersebut, maka dia telah menghukum dengan zann iaitu dia melakukan demikian semata-mata berdasarkan kepada penipuan dan kebatilan. Perbuatan ini dilarang sama sekali kerana ia adalah hukuman dengan hawa nafsu serta jauh daripada kebenaran”.

  

Ulama yang MENERIMA dan MENOLAK sadd al-dhari’ah:

 

Ulama yang beramal dengannya pada beberapa keadaan dan tidak beramal dengannya dalam beberapa hal tertentu ®Imam Shafi’e dan Abu Hanifah

 

Dalil-dalil dan hujah:

1.    Antara dalil yang menunjukkan bahawa Imam Syafi’e mengambil kira dengan al-dhara’i, beliau berkata dalam bukunya al-Umm “....bahawa sesungguhnya tidak halal apa-apa yang membawa (al-dhara’i) kepada menghalalkan apa yang dihalalkan oleh Allah”

2.    Namun dalam masalah jual beli secara ‘ajil berlawanan dengan kenyataannya tentang sadd al-dhara’i (beliau berpegang kepada dalil lain dan mengutamakan dalil itu, lalu beliau meninggalkan penggunaan sadd al-dhara’i). Dalil itu mengatakan bahawa orang yang tidak menzahirkan niatnya, apabila melakukan perbuatan haram, dia tidak boleh dituduh melakukan perbuatan demikian.

 

PENGAPLIKASIAN SADD AL-DHARI’AH TERHADAP PERSOALAN SEMASA

 

1.    Tuntutan supaya balu berkabung(ihdad) semasa ‘iddah:

Pengertian

Bahasa ®menegah daripada berhias

Istilah® meninggalkan berhias-hias sama ada pakaian, barang kemas dan bau-bauan harum.


Hukum berihdad (berkabung):

Wajib berkabung bagi wanita yang kematian suami selama empat bulan sepuluh harisebagaimana  firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah: 234

 

وَٱلَّذِينَ يُتَوَفَّوۡنَ مِنكُمۡ وَيَذَرُونَ أَزۡوَٰجٗا يَتَرَبَّصۡنَ بِأَنفُسِهِنَّ أَرۡبَعَةَ أَشۡهُرٖ وَعَشۡرٗاۖ

234. Dan orang-orang Yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beridah) selama empat bulan sepuluh hari.


Tatacara berkabung:

1.  Tidak boleh memakai pakaian yang menarik perhatian seperti pakaian yang berwarna    terang dan berwarna warni, pakaian ketat dan jarang yang menampakkan bentuk badan.

2.     Ditegah memakai wangi-wangian atau haruman sama ada pada pakaian atau tubuh badan.

3.   Dilarang berhias termasuklah bercelak mata sama ada untuk berhias atau berubat kecuali waktu malam jika diperlukan. Ini termasuklah mengenakan solekan pada muka, gincu pada bibir serta memasang kanta mata berwarna untuk berhias.

4.     Tidak boleh berinai.

5.     Ditegah berhias dengan cara apa jua.


2.    Larangan menzahirkan sembahyang Zohor berjemaah bagi orang-orang yang mengalami keuzuran untuk mengerjakan sembahyang jumaat:

 

Sebahagian ulama seperti ulama Hanafi dan Hanbali melarang (makruh tahrim bagi ulama Hanafi) solat zohor berjemaah bagi orang yang mempunyai keuzuran di tempat di masjid yang didirikan sembahyang jumaat. Hukum ini ditetapkan berdasarkan ad-Dhari’ah yang boleh berlaku dari tindakan mereka tersebut. Antara dhari’ahnya ialah:

1.     Mendorong orang yang tidak mempunyai keuzuran mengikuti mereka.

2.     Bimbang perbuatan itu dianggap menolak jumaat dengan solat lain.

3.     Bimbang berlaku fitnah tidak mahu mendirikan solat jumaat.

4.     Bimbang berlaku fitnah tidak mahu mengikut imam.

5.     Menimbulkan kekeliruan.

6.     Memecah belahkan masyarakat.

7.     Bimbang perbuatan tersebut menjadi adat.

 

3.    Larangan pembelian buah yang sedang berputik di atas pokok:

Terdapat dua pendapat:

A.    Hukum haram dan tidak sah.

Alasan:

Terdapat unsur gharar atau tidak jelas dalam jual beli dan berkemungkinan terjerumus dalam penipuan.

Jual beli tersebut juga tidak manfaat (masih muda)

نًهَى رَسُولُ  الله (صلى الله عليه وسلم ) عَنْ بَيْعِ الثِّمَارِ حَتَّى يَبُدُوَ صَلَاحُهَا, نَهَى اْلبَائِعَ وَالْمُبْتَاعَ

 Rasulullah melarang daripada menjual buah-buahan sehingga nyata masaknya, dia melarang penjual dan pembeli.

 

B.     Hukum harus:

Jika belum masak tetapi telah dipetik dan bermanfaat.

 

4.    Larangan berbuka puasa kerana uzur di khalayak ramai:

Ø  WAJIB menghormati bulan ramadhan dan wajib membendung unsur-unsur fitnah.

Ø  Dilarang dan dikira tidak menghormati kesucian agama Islam/ unsur menghina Islam.

 

5.       Larangan menjatuhkan hukuman berasaskan pengetahuan hakim:

Apa yang dimaksudkan di sini bukanlah maklumat yang diperolehi oleh hakim bicara melalui proses perbicaraan kes berkenaan. Apa yang dimaksudkan ialah maklumat yang diperolehi oleh hakim berkenaan di luar mahkamah sebagai orang biasa.

Contoh:

Hakim berkenaan melihat sendiri kejadian itu atau telah mendengar tentangnya daripada orang ramai.

 

Para ulama berbeza pendapat tentang perkara ini, sama ada boleh diterima sebagai asas penentuan hukum atau sebaliknya:

1.     Mazhab al-Shafi’e

Apa sahaja pengetahuan yang diperolehi oleh hakim berkenaan secara biasa tidak boleh digunakan sebagai asas penentuan hukum. Tetapi kalau sekiranya maklumat itu diperolehi melalui dua orang saksi yang dikenalinya sebagai bersifat adil, dia boleh menggunakan maklumat dari luar mahkamah itu sebagai asas kepada hukuman.

 

2.     Mazhab Hanafi

Maklumat seperti itu tidak boleh digunakan dalam kes-kes hudud walaupun boleh dalam kes-kes yang berkait dengan hak individu. Sebabnya kerana jenayah hudud menyentuh hak Allah (masyarakat umum), sedangkan hakim mewakili hak mereka.

 

3.           Mazhab Zahiri

Bagi mazhab ini, hakim perlu menggunakan maklumat peribadinya itu dalam semua kes termasuk kes-kes hudud. Kata Ibn Hazm, asas yang paling kukuh ialah pengetahuannya sendiri, kemudian pengakuan dan baru keterangan saksi.

 

 

CONTOH-CONTOH SOALAN

 

Soalan STPM 2014

(a)

Dengan memberikan contoh, terangkan perbezaan antara al-dhari’ah dengan muqaddimah. [6]

(b)

Jelaskan pandangan ulama tentang kehujahan sadd al-dhari’ah. [8]

(c)

Huraikan larangan menzahirkan solat Zohor berjemaah bagi orang uzur mengerjakan solat jumaat dan kemukan empatdhari’ah yang boleh berlaku. [6]

 

Soalan STPM 2015 (Ulangan)

(a)

Terangkan dua perbezaan antara maqasid dengan wasa’il. [4]

(b)

Jelaskan empat bahagian al-dhari’ah dari sudut kemudaratannya berserta contoh. [8]

(c)

Dengan mengemukakan kaedah sadd al-dhari’ah, bincangkan hukum larangan menjatuhkan hukuman berasaskan pengetahuan hakim. [8]

 

Soalan STPM 2016

(a)

Terangkan perbezaan antara maqasid dengan wasa’il dalam Sadd al-Dhari’ah. [4]

(b)

Jelaskan empat bahagian sadd al-dhari’ah berserta contoh. [8]

(c)

Berdasarkan prinsip Sadd al-Dhari’ah, bincangkan hukum berkabung kepada balu semasa iddah. [8]

 

Soalan STPM 2018

(a)

Terangkan tiga bahagian sadd al-dhari’ah berserta contoh. [6]

(b)

Huraikan tiga dalil daripada mazhab Maliki yang menerima sadd al-dhari’ah sebagai sumber hukum. [6]

(c)

Bincangkan hukum seseorang yang bermusafir, makan di tempat awam pada waktu siang dalam bulan Ramadhan. [8]

 

Soalan STPM 2018 Ulangan

(a)

Terangkan pengertian maqasid dengan wasa’il berserta contoh. [4]

(b)

Jelaskan empat bahagian al-dhari’ah dari segi kemudaratan sesuatu perbuatan. [8]

(c)

Isteri yang kematian suami dituntut untuk berkabung semasa tempoh ‘iddah. Dengan merujuk kepada kaedah sadd al-dhari’ah, bincangkan hukum tersebut. [8]


Soalan STPM 2019 Ulangan

(a)

(i)

Berikan pengertian sadd al-dhari’ah. [2]


(ii)

Dengan memberikan contoh, terangkan perbezaan antara al-dhari’ah dengan muqaddimah. [4]

(b)

Dengan memberikan contoh, jelaskan hubung kait antara maqasid dan wasa’il. [4]

(c)

Mengapakah kaedah sadd al-dhari’ah diaplikasikan kepada permasalahan seperti yang berikut? [2]


(i)

Tuntutan supaya balu berkabung semasa ‘iddah. [2]


(ii)

Larangan menzahirkan solat zuhur berjemaah bagi orang yang mengalami keuzuran untuk mengerjakan solat jumaat.  [2]


(iii)

Larangan pembelian buah yang sedang berputik di atas pokok. [2]


(iv)

Larangan makan dan minum di khalayak bagi orang yang mempunyai keuzuran untuk berpuasa pada bulan Ramadan. [2]


(v)

Larangan menjatuhkan hukuman berasaskan pengetahuan hakim. [2]

 

Soalan STPM 2021

(a)

Bezakan al-dhari’ah dengan al-muqaddimah. [4]

(b)

Jelaskan bahagian sadd al-dhari’ah bagi contoh yang berikut:


(i)

Menjual senjata dalam tempoh darurat. [2]


(ii)

Menggali perigi di tempat yang jarang dilalui orang. [2]


(iii)

Menjual anggur kepada pembuat arak. [2]


(iv)

Perempuan yang baru kematian suami berhias dan keluar rumah. [2]

(c)

Berdasarkan prinsip sadd al-dhari’ah, bincangkan hukum larangan pembelian buah yang sedang berputik. [8]